Oleh: Syamsul Annuar Yaacob
Sumber: http://www.bharian.com.my
Menjadi kebiasaan bagi imam bertugas mengungkapkan hadis Rasulullah SAW ketika
berdiri mendirikan solat jemaah. Ucapan itu bukan direka tanpa tujuan
kerana kata itu sahih daripada mulut Rasulullah SAW. Anas
Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Luruskan saf kamu,
kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna." (Hadis Riwayat
Muslim) Namun,
seruan itu sering diabaikan masyarakat yang mengaku cintakan Nabi
Muhammad SAW, tetapi memandang ringan seruan Baginda. Sesungguhnya
kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mengikut
sunnah Baginda.
Anas
berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara sesiapa yang
ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah
dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa
selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci
untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan
ke dalam neraka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Jika
kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka,
apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW
sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu
bapa. Begitulah
kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda
seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika
benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi
kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)
Mungkin
ada yang tidak selesa jika bersolat dalam keadaan rapat serta dalam saf
lurus. Tidak kurang juga timbul perasaan geli untuk berdiri bersentuhan
bahu dan bertemu kaki ketika solat jemaah. Ketahuilah
bahawa dalam sunnah yang dipandang ringan ini, terkandung penawar bagi
penyakit perpecahan yang sedang melanda umat Islam kini.
Daripada
Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat
sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang
menyebabkan hatimu berpecah-belah." (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah
SAW mempunyai cara tersendiri mewujudkan perpaduan utuh di kalangan
sahabat dengan menyempurnakan saf. Ini terbukti apabila generasi yang
ditarbiah Rasulullah SAW amat menjaga perpaduan dan tidak mementingkan
diri seperti puak Muhajirin serta Ansar yang dapat disatukan.
Ada
pihak beranggapan tidak sempurna saf jika kanak-kanak solat bersama,
tetapi tidak pula rasa solatnya tidak sempurna jika saf tidak lurus. Setiap
kali solat Jumaat atau hari raya, jemaah bersembahyang di luar atau di
pekarangan masjid kerana ruangan dalam sudah penuh. Jika semua
mementingkan susunan saf yang betul dan lurus, pasti ada jemaah
berpeluang solat di dalam masjid. Jika
benar ikhlas cintakan Rasulullah SAW dan ingin mengeratkan perpaduan
Islam, ikut sunnah nabi supaya merapatkan serta meluruskan saf supaya
hilang perasaan ego dan sombong sebaliknya lahir rasa kasih sayang.
salams en hisyam,
ReplyDeletesalam ziarah.
terima kash atas prkongsian yang dipaparkan. mhn dikongsi akan ilmunya. terimakasih
Insya Allah, sama2 kita sampaikan ilmu.
Delete