.

.

Monday, February 16, 2015

Bersemadilah dengan tenang wahai murabbi ummah





Firman Allah Taala:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: Di kalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka. (Al-Ahzab: 23)
Hari ini terasa sangat hiba, baharu sehari rakyat di Negeri Kelantan kehilangan sosok Rijal yang agung dalam harakah islamiyah dan pengasas Kerajaan Membangun Bersama Islam. Saya pernah diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Besar oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada 23 Mac 2004. Tok Guru banyak mengajar serta memberi pengalaman kepada saya dan hari ini saya sangat terasa kehilangan beliau dengan pemergian buat selamanya ini. Dialah bapa dialah sahabat saya dalam mengemudi bahtera Kerajaan Kelantan.
Masih saya ingat ketika Tok Guru meminta saya menjadi wakil rakyat pada tahun 1995 bagi sama-sama membantu beliau dalam menegakkan perjuangan Islam di Kelantan, saya terus meletakkan jawatan dengan notis 24 jam sebagai guru siswazah selama 15 tahun hanya matlamat saya semata-mata untuk berbakti kepada perjuangan islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebelum itu saya telah diberi amanah untuk menjawat jawatan Pengarah Pilihanraya DUN Sungai Pinang dan juga Bendahari PAS Kawasan Tumpat pada tahun 1986 demi untuk mengurus tentang kewangan kawasan secara lebih teratur.
Tok Guru kemudian meminta saya bersama berjuang dengan beliau dan sahabat-sahabat pada masa itu untuk membangunkan pentadbiran Negeri Kelantan secara lebih menepati kehendak islam dan Tok Guru memberi mandat kepada saya untuk menumpukan kepada bahagian pengurusan dan tadbir urus Kerajaan Negeri. Jawatan saya yang pertama ditugaskan oleh Tok Guru sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia iaitu pada tahun 1997.
Saya amat tenang dan rasa lapang berkhidmat dibawah kepimpinan Tok Guru kerana beliau tersangat unik dan begitu hikmah dalam memimpin kerajaan negeri tambahan pula dengan kehebatan ilmu yang dimiliki dan bertaraf seorang Tuan Guru dapat memimpin sebuah Kerajaan adalah satu peristiwa terpenting yang dicatat dalam sejarah politik Negeri Kelantan. Latar belakang pendidikannya yang berkemahiran dalam bidang tafsir, bahasa arab dan juga perundangan islam tidak sama dengan Menteri-Menteri Besar lain. Beliau sering menekankan soal mendaulatkan islam dan beliau tidak bertindak serta tidak melakukan sesuatu kecuali untuk kepentingan islam semata-mata.
Pesanannya sentiasa terngiang-ngiang ditelinga saya betapa beliau seorang murabbi yang tidak lekang daripada memberi nasihat dan tazkirah walau dimana berada. Teringat saya kepada ‘kuliah senafas’ yang sentiasa mendidik rohani dan memberi thaqafah di kalangan pimpinan parti, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat jelata. ‘Kuliah senafas’ ini sentiasa diberikan oleh beliau sejurus solat subuh setiap hari di masjid beliau di Pulau Melaka juga sebelum bermulanya mesyuarat perhubungan Negeri dan lain-lain mesyuarat.
Setiap pagi Jumaat, akan kedengaran suaranya menyapa masyarakat di sekitar Bandar Kota Bharu dan selepas ini saya dan pasti seluruh rakyat akan sangat terasa dengan kehilangan sosok besar perjuangan. Rasa hormat dan rasa sayang kepada Tok Guru ini sentiasa mekar disanubari kami dan beruntunglah Tok Guru kerana Allah telah mengambilnya ketika beliau sudah mencapai taraf kekasih Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ، فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبُّوهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الأَرْضِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila kasih kepada seseorang hamba-Nya lantas Allah memanggil Jibril seraya menyatakan: Sesungguhnya Aku kasih kepada si fulan maka kasihilah dia. Lalu Jibril mengasihinya dan mengumumkan kepada para penduduk langit bahawa Allah mengasihi si fulan maka kasihilah kalian semua akan dia, maka semua penduduk langit mengasihinya seraya berkata: kemudian letakkanlah rasa kasih sayang ini juga kepada semua penduduk bumi. (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya Tok Guru amat dikasihi oleh rakyat, walaupun terdapat rakan politik yang tidak sehaluan pandangan, mereka akhirnya tetap menghormati dan tidak berdendam kepada Tok Guru. Hari pemergiannya, lautan manusia dari seluruh negeri dan negara luar turut hadir, daripada sekecil-kecil pangkat manusia hinggalah sebesar-besar pangkat dan daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya. Allahlah yang meletakkan rasa hormat dan kasih ini kepada hamba-Nya yang bagi saya telah mencapai keahlian ‘Kekasih Allah’ yang sentiasa diimpikan oleh kita semua dan Tok Guru telah melaksanakan dengan penuh amanah terhadap segala janjinya kepada Allah. Bersemadilah dengan tenang wahai Murabbi Ummah.
USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
24 Rabiul Akhir 1436 / 14 Februari 2015

Sumber: Harakah