.

.

Tuesday, July 23, 2013

MUJAHIDIN MELAYU DI AFGHANISTAN - ASY-SYAHID FAUZI ISMAIL



















Berbicara tentang Mujahidin, pasti ramai antara kita tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kerdil ini juga mampu melahirkan barisan Tentera Allah yang sanggup berdada/berdepan dengan tentera Kuffar laknatullah. Kini, hamba persembahkan kepada kalian sebuah kisah yang amat jarang untuk didengari dari lidah-lidah agamawan Malaysia, kisah yang tak semua sanggup & berani untuk diceritakan kepada pelapis-pelapis anak jantan Islam berbangsa Melayu, mahupun hendak dijadikan cerita sebelum tidur anak-anak Muslim.


Inilah kisah dari seribu kisah, kisah kerdil disaluti darah, darah sang Pejuang demi membela Islam nan Suci. Bacalah, hayatilah, tangisilah, insafilah, sebuah kisah klasik untuk masa depan...

Tahun 1980an banyak merakamkan peristiwa penumpahan darah para syuhada tanahair ini (Malaysia) sebagaimana yang dicatatkan di Memali dan Lubuk Merbau. Dalam pada itu, ribuan para mujahiddin bermandikan keringat dan darah di Afghanistan, Chechnya, Iran, Arakan, Moro, Kashmir, Pattani, penyembelihan di Tanjung Periuk dan bumi Aceh di Indonesia. Di medan pertempuran bumi Afghanistan, ramai pula anak bangsa kita turut berjuang atas nama agama.

Di antaranya ada dua anak Melayu yang telah diterima dagangnya oleh Al Khaliq. Yang pertama bernama Abdul Aziz Samad dari Selangor pada pertengahan 1988 namun tiada rekod untuk diceritakan lebih lanjut. Yang kedua ialah Assyahid Fauzi Ismail.

Latar Belakang As Syahid

Fauzi Ismail ialah anak kampung Kelut dalam Pokok Sena, Kedah. Dilahirkan dalam pada 1 September 1962, anak muda yang periang dan kental dengan semangat perjuangan ini merupakan pemuda PAS yang istiqomah mempertahankan tapak pusat pengajian Muassasah Darul Ulum iaitu projek terbesar PAS Kedah dalam tahun 1987. Muassasah ini terletak di Batu 14 1/2 Jalan Kuala Nerang berkeluasan lebih kurang 48 relung. Apabila berlaku rampasan sebahagian tanah tapak projek oleh pihak berkuasa, ratusan pemuda telah menawarkan diri untuk mengawal muassasah tersebut. Assyahid antara pemuda yang sanggup berjaga malam di sana.

Miskipun tidak mempunyai pendidikan asas agama yang mendalam tetapi semangat untuk menghayati perjuangan agama begitu kental. Sebelah siangnya beliau membuka kedai runcit di kampung dan malam pula dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti mengaji al Quran, mengikut kuliah pengajian agama dan berusrah di tapak muassasah itu. Bermalam di sana memang mencabar kerana bertemankan nyamuk dan kedinginan malam. Mereka juga melibatkan diri dalam kerja sosial di kawasan setempat.


Fitnah Menduga Jiwa

Penglibatan pemuda-pemuda di Muassasah tersebut rupanya kurang disenangi oleh banyak pihak samada pihak luar maupun veteran-veteran PAS sendiri. Ekoran dari itu pihak berkuasa tempatan telah mengawasi mereka, lebih-lebih lagi bila aktiviti seni pertahanan diri diamalkan di sana. Guru silat mereka telah dilucutkan tauliah mengajar gara-gara tekanan pihak tertentu. Tekanan banyak pihak ini benar-benar mencabar mereka untuk bermujahadah di jalan Allah.


Berjihad

Idea untuk berjihad bersama mujahidin di bumi Afghanistan tercetus selepas menyaksikan kekejaman kaum kuffar menzalimi saudara-saudara seagama di sana. Ekoran dari itu mereka bersepakat untuk mewakafkan diri sebagai anggota mujahiddin. Setelah bersusah payah mencari wang perbelanjaan untuk pergi ke bumi yang sedang bergelora itu, akhirnya sebilangan anak muda dari tapak muassasah ini berjaya menyertai lain-lain sukarelawan perang jihad dari berbagai negara.


Dagangnya Dibeli Allah

As Syahid dan rakan-rakannya berpeluang kali pertama melawat kem musuh dan bandar Argoon yang telah menjadi padang jarak padang terkukur ditawan oleh mujahiddin. Bangkai musuh masih terbiar di jalanan tetapi keadaan cuaca yang begitu sejuk di sana menyebabkan bangkai tersebut tidak busuk. Berjuang di sini begitu mencabar ketika di musim sejuk kerana kedinginannya begitu mencengkam hingga ke tulang hitam.

Di Khemah, mereka berkawal dan bertugas mengikut jadual. Berpuasa sunat, sholat malam dan latihan jasmani dilakukan. Suatu pagi, dikisahkan assyahid ini bangun mandi sedangkan waktu itu musim sejuk. Rupa-rupanya beliau telah berhadas kerana malamnya bermimpi didatangi bidadari. Dikatakan bahawa bermimpi bidadari di kalangan mujahiddin adalah perkara biasa dan kebanyakannya mereka inilah yang akan terpilih sebagai syuhada dan berpeluang menghampiri bidadari.

Dimaklumkan setelah pasukan mujahiddin berjaya menawan daerah Khost, mereka telah pergi ke wilayah Jalalabad untuk bergabung dengan mujahiddin Arab di sana. Beliau telah diarahkan menjaga kubu di atas bukit yang sederhana tingginya di waktu malam. Bertemankan seorang rakan dari bangsa Arab, mereka mengawal kubu tersebut dan kawasan itu memang kerap disinggah peluru musuh. Telah ramai pula yang menemui syahid di bukit itu.


Memang sudah ditakdirkan antara ratusan biji bom dari kereta kebal musuh itu, ada peruntukan oleh Allah untuk assyahid Fauzi Ismail. Dengan gugurnya ledakan bom itu, berterbanganlah bidadari dari syurga Firdaus menyambut assyahid. Janji Allah itu benar, mimpi beliau sebelum ini memang menjadi kenyataan. Allah telah membayar nyawanya dengan keharuman kasturi dan bidadari yang serba suci. Anak muda itu syahid pada 28 Julai 1989. Allahu Akbar!!



Tanda Kesyahidan

As Syahid Fauzi gugur di kubu itu dan rakannya yang parah dibawa turun untuk mendapat rawatan. Walaupun hampir 10 jam jenazah beliau berada di atas bukit itu, darah merah masih segar bugar dan panas mengalir.


وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمۡوَٲتَۢا‌ۚ بَلۡ أَحۡيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمۡ يُرۡزَقُونَ (١٦٩


Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezki.



[al-'imran, 3:169]


Manakala ibu-bapanya di kampung pula, telah dipertemukan Allah dengan anak lelaki mereka bergelar syuhada itu melalui alam mimpi. Mimpi mereka lebih mendahului berita dari manusia. Wajah anak mereka tersenyum sayang dengan berjubah dan berserban merah. Mengertilah mereka bahawa dagang anaknya telah dibeli Allah dan tentunya mereka juga akan mendapat imbuhan dari pelaburan yang termahal ini.

Apabila ditanya kepada bapanya tentang anaknya itu, beliau menjawab:

"Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat... saya bersyukur." 

ALLAHU AKBAR!!!

Firman Allah yang bermaksud:


إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَ‌ۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقًّ۬ا فِى ٱلتَّوۡرَٮٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِ‌ۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ‌ۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعۡتُم بِهِۦ‌ۚ وَذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١١١


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

[at-taubah, 9:111]

Selingkar kisah ini dipetik dari buku Memoir Jihad Anak Melayu Di Afghanistan tulisan saudara C.N Al Afghani @ Zainon Ismail.

No comments:

Post a Comment