.

.

Tuesday, June 26, 2012

Syiah: Hakikat & Sejarah

Syiah: Hakikat & Sejarah

Oleh: Muhammad Assiddiq Fauzan, Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Kaherah)
Artikel ini adalah hasil terjemahan daripada buku ‘Syiah: Perjuangan atau Kesesatan’ yang dikarang oleh Dr. Raghib Sarjani. Tujuan saya menterjemah beberapa petikan daripada buku ini adalah untuk mendedahkan isu Syiah yang sedang menyerang negara kita. Kefahaman kepada sesuatu masalah adalah langkah pertama dalam merawatnya. Diharapkan usaha kerdil ini dapat membantu para pendakwah di luar sana dalam usaha membanteras fahaman Syiah yang sedang menular ditengah masyarakat.
Dr. Raghib Sarjani adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah. Beliau lahir pada tahun 1964 di Mesir. Merupakan graduasi kuliah perubatan dari Cairo University pada 1988 dengan pangkat Mumtaz. Beliau tamat menghafal quran pada tahun 1991. Berjaya menyiapkan Masters di universiti yang sama dengan pangkat Mumtaz pada tahun 1992. Kemudian berjaya mendapat Ph.D dengan pantauan kerjasama antara Mesir dan Amerika ( Surgery of Urinary Track and Kidney ) pada tahun 1998.
Walaupun mempunyai Ph.D dalam bidang perubatan dan menjadi pensyarah di Cairo University dalam bidang tersebut, beliau sangat minat mendalami ilmu sejarah dan telah menghasilkan puluhan buku seperti Kisah Andalus, Kisah Tunis, Kisah Tartar, Kisah Perang Salib, Kewajipan Umat Terhadap Palestin, Antara Sejarah dan Realiti, Kisah Erdogan, dan lain-lain. Beliau merupakan salah seorang tokoh dakwah Ikhwan Muslimin dan menghoskan laman web sendiri di www.islamstory.com.
Dasar-dasar Syiah
Para Sejarawan berbeza pendapat tentang asal-usul permulaan Syiah. Pendapat pertama dan yang paling terkenal adalah kemunculan mereka bermula apabila berlaku khilaf antara Ali RA dan Muawiyah RA ketika Perang Siffin. Jika mengikut pendapat ini, maka pengikut Ali RA diiktibarkan sebagai Syiah dan pengikut Muawiyah RA diiktibarkan sebagai Sunnah wal Jamaah. Tetapi, pada hakikatnya ia bukan seperti itu.
Pendapat Ahli Sunnah mengatakan kebenaran antara perselisihan antara dua sahabat mulia ini berada di pihak Ali RA dan Ahli Sunnah berpendapat bahawa Muawiyah telah berijtihad dalam hal ini tetapi ijtihad itu didapati tidak benar. Maka kecenderungan Ahli Sunnah kepada pihak Ali RA sangat jelas.
Tambahan pula, yang dikatakan dengan fahaman, prinsip, dan aqidah yang dilaung-laungkan oleh Syiah, semua itu jauh dari fahaman, prinsip dan aqidah yang diimani oleh Ali RA. Maka dengan itu jelas bahawa pendapat yang mengatakan Syiah bermula sebagai pengikut Ali pada peristiwa ini adalah salah sama sekali.
Pendapat kedua pula mengatakan Syiah muncul setelah kematian Husain bin Ali RA yang mana beliau telah keluar dari pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Dalam peristiwa ini, penduduk Iraq memanggil Husain RA untuk menyertai mereka di Iraq dan menjanjikan sokongan dan pertolongan kepada beliau. Tetapi pada saat akhir mereka mengkhianati beliau dan akhirnya beliau dibunuh di Karbala.
Maka bangkitlah sekelompok Muslimin menyeru agar pembunuhan ini dituntut bela. Tetapi di pihak satu lagi menghukum kelompok ini kafir kerana telah keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Maka berlakulah pergaduhan, dan terbunuhlah beberapa orang dari kalangan penyokong Husain dan mereka digelar sebagai Syiah.
Ini dapat menjelaskan kepada kita hubungan yang kuat antara Syiah dan Husain RA, malah lebih kuat daripada Ali RA sendiri. Sepertimana yang dapat dilihat, mereka merayakan hari kematian Husain tetapi tidak merayakan hari kematian Ali.
Kesan daripada peristiwa ini, wujud kelompok yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan aqidah, dan mazhab fiqh tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah. Dan kita dapat perhatikan sendiri, mereka yang digelar sebagai pemimpin awal Syiah adalah mereka yang bermazhab Sunni.
Setelah berlalunya masa dan keadaan menjadi stabil, muncul seorang tokoh bernama Ali Zainal Abidin bin Husain, iaitu anak kepada Husain RA. Beliau adalah seorang lelaki yang soleh, ulama yang zuhud, dan langsung tidak membawa ajaran aqidah atau fiqh yang bertentangan dengan para sahabat dan tabi’en.
Ali Zainal Abidin mempunyai dua orang anak lelaki yang soleh dan tinggi darjat wara’ dan taqwa. Mereka bernama Muhammad Baqir dan Zaid. Keduanya mempunyai pandangan yang bertepatan dengan Ahli Sunnah yakni dengan para sahabat dan tabi’en kecuali pandangan Zaid bin Ali Zainal Abidin yang mempunyai padangan yang berbeza. Beliau berpendapat bahawa Ali Abi Talib RA lebih layak menjadi khalifah berbanding Abu Bakar As-Siddiq RA.
Walaupun pendapat ini bertentangan dengan ijma’ seluruh umat, dan bertentangan dengan hadith-hadith yang menceritakan kelebihan-kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman berbanding Ali, namun ia bukanlah permasalahan aqidah. Dan beliau mengakui keutamaan Abu Bakar, Umar dan Uthman, cuma berpendapat Ali RA lebih layak. Malah beliau mengakui keharusan imamah mafdhul, iaitu mengiktiraf imamah (kepimpinan) Abu Bakar, Umar dan Uthman.
Hanya pada satu titik ini beliau berselisih dengan pendapat Ahli Sunnah, tetapi pada semua titik yang lain beliau sependapat dengan mazhab Ahli Sunnah.
Maka dengan itu, keluarlah Zaid dari pemerintahan Umayyah, mengulangi sejarah datuknya, Hussain RA pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Dan berakhirlah perkara ini dengan terbunuhnya Zaid pada tahun 122H. Lalu bangkitlah para pengikut beliau dan mengasaskan mazhab di atas pendirian Zaid ini dan dikenali oleh sejarah dengan nama Zaidiyyah bersempena dengan nama beliau.
Mazhab ini, walaupun dikira sebagai Syiah, ia bertepatan dengan mazhab Ahli Sunnah dalam semua perkara, kecuali dalam bab mengutamakan Ali RA berbanding tiga khalifah sebelumnya. Pengikut mazhab ini banyak tersebar di Yaman, dan inilah mazhab Syiah yang paling dekat dengan Ahli Sunnah dan hampir tidak berpecah dengan Ahli Sunnah dalam kebanyakan perkara.
Satu peristiwa yang perlu disebut di sini bahawa pada suatu hari terdapat segolongan dari pengikut Zaid bin Ali Zainal Abidin ini yang pernah bertanya pada Zaid tentang pendapat beliau terhadap Abu Bakar dan Umar. Zaid menyatakan bahawa beliau menghormati mereka berdua. Tetapi golongan ini bukan sahaja tidak setuju dengan beliau, malah menolak kepimpinan beliau dan keluar dari kumpulan Zaid. Golongan ini dikenali oleh sejarah sebagai ‘golongan Rafidah’(penolak), kerana mereka menolak imamah(kepimpinan) dua khalifah yang awal dan menolak pendapat Zaid tentang mereka berdua. Golongan Rafidah inilah yang menjadi pengasas ‘Syiah 12’ yang menjadi mazhab Syiah yang terbesar sekarang.
Setelah Muhammad Baqir meninggal dunia pada tahun 114H (adiknya Zaid meninggal lapan tahun selepas itu), beliau meninggalkan seorang anak lelaki yang alim dan wara’ bernama Ja’far Sodiq. Beliau adalah seorang ulama yang terulung pada masa beliau dan menguasai ilmu fiqh dengan sebenar-benar penguasaan, dan beliau menyelusuri  aqidah sahabat, tabi’en dan ulama muslimin yang lain.
Pada penghujung era pemerintahan Khilafah Umayyah, wujud satu gerakan dari keluarga Abbas (yakni dari keturunan pakcik Rasulullah yang bernama Abbas bin Abdul Mutalib) yang mengajak manusia membuat revolusi terhadap kerajaan Umayyah. Maka gerakan Abbasiah ini saling bekerjasama dengan pengikut Zaid bin Ali Zainal Abidin.
Akhirnya pada tahun 132 H, tumbanglah kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiah dibentuk dengan Abu Abbas As-Saffah sebagai pemimpinnya. Maka pengikut Zaid kecewa kerana tidak dilantik menjadi pimpinan walaupun mereka merupakan cucu cicit kepada Ali bin Abi Talib, anak saudara kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Lalu mereka merancang untuk mengadakan revolusi terhadap kerajaan Abbasiah pula. Golongan ini dikenali sebagai Tolibiyyun (yang dinasabkan kepada Ali bin Abi Talib) yakni bertentangan dengan Abbasiyyun (nasab kepada Abbas bin Abu Mutalib)
Dan sehingga ketika ini, masih tiada penyelewengan dari sudut aqidah mahupun fiqh, kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Ini adalah kerana pecahan dari pengikut Zaid yang menolak imamah (kepimpinan) mereka berdua, malah tidak malu untuk mengkritik secara terang-terangan.
Ja’far Sodiq meninggal pada tahun 148H. Beliau meninggalkan seorang anak bernama Musa Kazim, yang juga seorang ulama, tetapi tidak mencapai tahap ayahnya, dan beliau meninggal pada tahun 183H. Beliau meninggalkan beberapa orang dan di antara mereka ada yang bernama Ali bin Musa Ar-Redha.

Sumber: http://ismamesir.com/

No comments:

Post a Comment