.

.

Wednesday, June 27, 2012

Empayar Syiah (Siri 3)

Empayar Syiah (Siri 3)

Oleh: Muhammad Assiddiq Fauzan, Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah
Setelah kematian Hasan Askari (Imam yang ke-11), para pengikut Syiah ini telah terpecah-pecah, dan selain dari pecahan Syiah Imam 12 yang paling terkenal itu, wujud satu pecahan Syiah yang sangat bahaya yang dikenali sebagai Syiah Ismailiyyah.
Pecahan ini sangat sesat dan menolak hampir semua ulama’ Muslimin. Ia bermula di atas rancangan jahat seorang pemuda Yahudi yang bernama Maimun Qaddah yang bercita-cita untuk menghancurkan Islam. Pemuda ini menzahirkan dirinya sebagai seorang Muslim, malah amat rapat dengan Muhammad bin Ismail bin Ja’far Sodiq, yakni cucu kepada Ja’far Sodiq. Bapa Muhammad ini bernama Ismail, abang kepada Musa Kazim yakni imam ke-7 dalam silsilah Imam 12.

Maimun Qaddah sangat bencikan Islam dan telah memikirkan satu rancangan jahat untuk menghancurkan ummat Islam, walaupun setelah kematiannya. Dia telah menamakan anaknya Ibnu Muhammad (bermaksud anak Muhammad, kerana ingin menasabkan kepada Muhammad bin Ismail, cucu Ja’far Sodiq) dan telah mewasiatkan kepada anak cucunya supaya menamakan anak-anak mengikut nama anak cucu Muhammad bin Ismail juga.
Dengan cara ini, setelah berlalunya masa, masyarakat akan mengenali keturunannya sebagai keturunan Ahli Bait yakni anak cucu Muhammad bin Ismail. Bukan itu sahaja, mereka mendakwa kepimpinan ummat Islam mesti di kalangan nasab Ismail bin Ja’far Sodiq, dan bukannya Musa Kazim bin Ja’far Sodiq sepertimana yang dituntut mazhab Imam Dua Belas.
Dan berlakulah sepertimana yang Maimun rancangkan, dan wujudnya pecahan Ismailiyyah yang akhirnya mendokong aqidah dan pemikiran yang sebahagiannya sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mendakwa Tuhan menyelesaikan masalah manusia melalui imam yang memerintah, dengan itu mereka mempercayai imam mereka sebagai Tuhan!
Mereke juga mempercayai penjelmaan semula roh orang yang telah mati menjadi makhluk lain, terutama roh-roh imam mereka. Lalu mereka percaya bahawa kesemua imam mereka akan kembali ke bumi setelah kematian mereka.
Mereka juga secara terang-terangan meng’qazaf’ (menuduh zina) para sahabat malah menyumpah-nyumpah Rasulullah SAW sendiri. Tetapi mereka mengaku mereka daripada keturunan baginda. Cita-cita mereka yang terbesar adalah menumbangkan kepimpinan Muslim Sunni di tanah Islam.
Seruan golongan Ismailiyyah ini mula aktif di kalangan umat Islam yang jahil. Mereka membangkitkan semangat cintakan Ahlul Bait dan meyakinkan orang Islam supaya mempercayai bahawa merekalah cucu cicit kepada Rasulullah SAW. Golongan ini sangat rapat dengan orang-orang Parsi yang nampak secara zahirnya Islam, tetapi secara sembunyi menyembah api. Di antaranya adalah Hussein Al-Ahwazi. Dia adalah mubaligh Ismailiyyah yang terkenal dan antara pengasasnya yang besar, dan dia menjalankan dakyahnya di kota Basrah.
Di situ, beliau berkenalan dengan Hamdan bin Al-Asy’as. Para ulama’ tarikh berselisih pandangan tentang asal-usul Hamdan ini. Ada yang berkata dia adalah Majusi dari Parsi, ada juga yang berkata dia seorang Yahudi dari Bahrain. Hamdan ini lebih dikenali dengan gelarannya ‘Qarmat’. Maka setelah berlalunya masa, pengikutnya digelar dengan gelaran Al-Qarmatiyy, yakni pecahan dari Syiah Al-Ismailiyyah, dan lebih berbahaya.
Syiah Al-Qarmatiyy mendakwa harta dan wanita adalah milik semua orang, dan mereka menghalalkan segala macam maksiat seperti zina, rompakan dan mencuri.
***
Sehingga separuh kurun ke-2 Hijrah hingga kurun ke-3, telah wujud tiga kumpulan Syiah yang besar yang berbeza dari segi aqidah, hukum-hakam, dan lain-lain, namun setiap daripada mereka mendakwa merekalah yang membawa kebenaran.
Mereka adalah Syiah 12, Syiah Ismailiyyah dan Syiah Qaramitah. Pertentangan sentiasa wujud antara sesama mereka dan antara ahli Sunnah.
Sehingga akhir kurun ke-3 Hijrah, kumpulan-kumpulan Syiah hanya muncul sebagai kelompok-kelompok kecil di dalam masyarakat Muslimin, dan tidak sampai ke tahap membina negara sendiri. Namun pada awal kurun ke-4, beberapa perubahan yang akhirnya mengubah peta ummat Islam.
Kumpulan Syiah yang paling cepat mendapat negara sendiri adalah kumpulan Qaramit kerana wasilah mereka yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Mereka telah menghantar seorang muballigh mereka yang bernama Rustum bin Hussein ke Yaman dan dia telah mengasaskan negara Syiah Qaramitah di sana. Kemudian ramai lagi mubaligh dihantar untuk menyebarkan fikiran mereka sehingga sampai ke negeri Maghribi (Morocco) tetapi mereka tidak berjaya untuk menembus masuk ke dalam pemerintahan. Namun begitu, mereka berjaya mendapat tempat baru yakni di Bahrain, dan mereka bertindak membunuh para jemaah Haji di situ. (Bahrain yang dimaksudkan bukan Bahrain sekarang, tetapi suatu tempat yang terletak di selatan semenanjung Arab yang dahulunya dikenali sebagai Bahrain).
Peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan adalah pada Hari Tarwiyyah (8 Zulhijjah), tahun 317 H dimana mereka telah membunuh para jemaah Haji di Masjidil Haram, dan mencuri Hajar Al-Aswad setelah membuat huru-hara dan membawanya ke ibu negeri mereka yang bernama Hajar di selatan semenanjung Arab. Dan Hajar Aswad tersebut berada di situ selama 22 tahun, dan setelah itu, mereka memulangkannya pada tahun 339 H.
***
Syiah Ismailiyyah pula mendapati Maghribi sangat sesuai buat mereka kerana fikrah Rustum bin Hussein yang memerintah Yaman telah tersebar di situ. (Fikrah Ismailiyyah dan Qaramitah sama-sama mengajak kepada imamah dari nasab Ismailiyyah bin Ja’far Sodiq).
Ada seorang dari cucu cicit Maimun Qaddah yang bernama Ubaidullah bin Hussein bin Ahmad bin Abdullah bin Maimun Qaddah, yang melihat peluang terbuka untuk mendirikan negara Ismailiyyah. Maka dia dan pengikutnya mewar-warkan bahawa dialah yang patut menjadi pemimpin kerana ‘atuknya’, yakni Ismail bin Ja’far sodiq telah dinafikan imamahnya. Untuk menawan hati ummat Islam, mereka menggelar empayar mereka dengan nama Fatimiyyah, sempena anak Rasulullah, Fatimah binti Muhammad.
Maka dakyah mereka berkembang dengan sangat cepat kerana faktor kejahilan masyarakat dan penggunaan sentimen cinta umat Islam pada keluarga Rasulullah SAW, sehingga empayar mereka berkembang ke seluruh Afrika Utara, dan bid’ah dan kesesatan mereka juga tersebar seperti mengeji sahabat, penjelmaan Allah dalam bentuk makhluk, penjelmaan semula ruh, dan sebagainya. Sehinggalah sampai ke bumi Mesir, yakni setelah mereka menjajahnya pada tahun 359 H, yang telah dipimpin oleh Jauhar As-Saqli Al-Ismaili pada zaman pemerintahan Muazuddin Al-Ubaidi. Setelah itu Muazuddin pun memasuki Mesir dan mengasaskan Kaherah, serta membina Masjid Al-Azhar, bertujuan untuk menyebarkan lagi mazhab Syiah Al-Ismailiyyah. Mereka juga membunuh ulama’-ulama’ Sunni dan membina banyak lagi masjid-masjid lain untuk menyebar luaskan lagi mazhab mereka. Begitu juga di Hijaz dan di Syam.
Sehinggalah pada waktu itu, datanglah Salahuddin Al-Ayubi menghalau mereka pada tahun 568 H, dan membebaskan Mesir dari cengkaman Syiah.

No comments:

Post a Comment