Sophronius memberikan syarat supaya
Khalifah Islam iaitu Umar ibn al Khattab sendiri yang hadir menemui
penduduk Iliya’ (Iliya’, nama Jerusalem ketika itu) dengan jaminan
keselamatan.
Pada sangkaan Sophronius, umat Islam
akan menolak syarat tersebut dan melakukan penjarahan terhadap Kota al
Quds sebagaimana empayar-empayar yang pernah wujud sebelum Islam seperti
Parsi dan Rom. Ternyata jangkaan mereka silap.
Abu Ubaidah bin Jarrah yang ketika itu
sudah mengepung Jerusalem, dengan sikap toleransi memenuhi permintaan
Sophronius dan rakyat Iliya’. Beliau menerima syarat tersebut dan
menjemput Khalifah Umar al Khattab menuju ke Kota Jerusalem.
Sebelum Khalifah Umar berangkat menuju
ke Jerusalem, Umar telah bermusyawarah bersama Para Sahabatnya tentang
permintaan Sophronius. Uthman ibn Affan radhiAllahu anhu mencegah
Khalifah Umar dari menuruti kehendak uskup tersebut, tetapi Saidina Ali
memberikan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Umar; Iaitu
melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’ kerana Jerusalem juga
merupakan salah satu bandar suci bagi kepercayaan umat Islam selain
Yahudi dan Nasrani.
Di sinilah hikayat kisah agung pembukaan
Kota al Quds yang dilakukan Khalifah Umar al Khattab. Khalifah Islam
ke-2 yang pernah mendapat gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda
salallahualaihi wasalam sebagaimana sabdanya yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya".
Khalifah Umar al Khattab tidak pergi ke
Baitul Maqdis dengan ketumbukan tentera, bukan juga dengan pakaian yang
mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya
menaiki seekor unta, dan ditemani oleh seorang P.A (personal assistant)
/ khadamnya sahaja. Perjalanan Umar dan khadamnya dari Madinah ke Kota
al Quds, hanya cukup berbekalkan air, roti dan kurma.
Menurut riwayat, Umar dan khadamnya
bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya pula
akan berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala jika
khadamnya yang naik unta, Umar pula yang akan berjalan memandu pedati
untanya. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin
sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga
sampai ke Kota al Quds.
Sebelum sampai ke Kota al Quds, Umar
telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu
Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Abu Ubaidah bin Jarrah merupakan salah
seorang Sahabat Nabi yang termasuk dalam senarai 10 orang yang
dijanjikan syurga. Turut bersama Abu Ubaidah ketika itu ialah Khalid bin
al Walid.
Apabila tentera-tentera Islam menyedari
kedatangan Umar al Khattab, mereka menyambutnya dengan penuh
penghormatan. Ketika itu Umar yang memimpin pedati unta yang dinaiki
oleh khadamnya. Berkali-kali khadamnya meminta agar Umar berada di atas
unta sebelum sampai ke perkhemahan tentera, tetapi hal itu ditolak oleh
Umar kerana kerendahan hati dan ketinggian budinya.
Apabila Abu Ubaidah melihat kaki
Khalifah Umar sudah berceloreng dengan debu-debu tanah dan luka kerana
perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan
kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke pintu Kota al Quds.
“Wahai Amiral Mukminin, jika kamu
memerintah agar kami memapah dan memandu perjalananmu nescaya kami akan
lakukan. Mereka (penduduk al Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai
Khalifah”
Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu
Ubaidah, salah seorang panglima Islam yang menewaskan tentera-tentera
Rom Byzantine itu dengan wajah yang sangat murka atas apa yang
diucapnya. Lalu terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepada Abu
Ubaidah,"Demi Allah. Jika bukan engkau yang
mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku menghukummu sebagai
pengajaran buat umat ini! Sesungguhnya kita semua ini adalah hina lalu
kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan
selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah".
Saidina Umar menolak cadangan Abu
Ubaidah dan tidak memanjangkan dialog bersamanya. Umar bersama khadamnya
terus berlalu pergi meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya.
Mereka masih bergilir-gilir menaiki unta
sambil menghabiskan bacaan surah Yassin. Apabila Kota al Quds semakin
dekat, khadamnya memesan agar Umar terus kekal menaiki unta, sementara
dia yang akan memegang pedati unta yang dinaiki Umar. Tetapi Umar tegas
melarang dan mengarahkan pembantunya agar terus mengikut tempoh gantian
yang ditetapkan. Kebetulan, apabila jarak mereka berdua hampir tiba ke
gerbang Kota al Quds, waktu itu giliran Umar memegang tali pedati unta
tersebut.
Kerumunan tentera-tentera Rom dan rakyat
al Quds beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu
kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah
peradaban dunia. Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala
tentera dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota,
permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi Umar sebagai khalifah,
pemimpin terunggul yang berjaya menundukkan keangkuhan Rom, datang
dengan baju kasar yang kurang kualitinya, lusuh dan berdebu, manakala
kedua-dua kakinya berlumpur.
Umar berhenti apabila menjejaki gerbang
Dimashq, salah satu pintu masuk ke Jerusalem. Kemudian terus berjalan
meninggalkan unta dan khadamnya di situ, dengan penuh kehambaan kepada
Allah Taala wajahnya bersemarak sinar keizzahan Islam.
Pembesar-pembesar Kristian terpegun
melihat ketibaan Umar radhiAllahu anhu. Mereka semua mengandaikan Umar
akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi dan
namanya. Mereka terpedaya dengan sangkaan-sangkaan buruk mengenai Umar,
sebaliknya Khalifah Umar hanya ditemani oleh seorang khadam setibanya di
Jerusalem. Lebih mengharukan, mereka melihat Khalifah Umar yang menarik
tali pedati yang ditunggang khadamnya. Mereka merasakan perbezaan yang
jelas antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah
menakluk Jerusalem sebelum ini.
Seluruh rakyat Iliya’ dan
pembesar-pembesar di Jerusalem memberikan penghormatan kepada Umar
sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras.
"Alangkah malangnya kamu semua!
Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala
(sujud) seperti ini kecuali kepada Allah".
Patriarch Sophronius bersama uskup-uskup
lain memakai pakaian yang mewah-mewah bergemerlapan, sedangkan orang
yang ingin diberikan penghormatan hanya memakai pakaian seperti rakyat
biasa. Sophronius malu melihat penampilah Khalifah sungguh sederhana,
dalam hatinya berkata,”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.
Saat Sophronius teruja dan menitiskan
air mata melihat kesederhanaan Umar, dia termanggu apabila teringat
tanda-tanda pemilik sebenar Kota al Quds sebagaimana yang disebut di
dalam Injil. Sophronius mara bertemu Umar sambil di tangannya memegang
kunci Kota al Quds. Kemudian Sophronius berkata kepada Umar.
“Sesungguhnya orang yang akan aku
serahkan kunci kota al Quds, seterusnya menguasai Baitul Maqdis memiliki
tiga tanda. Petanda-petanda tersebut jelas disebutkan di dalam kitab
Injil kami.
“Pertama, orang itu akan berjalan
manakala khadamnya menunggang kenderaan miliknya. Kedua, orang itu
datang dalam keadaan kedua-dua kakinya diselaputi debu-debu tanah
(lumpur). Ketiga, orang itu datang dalam keadaan bajunya penuh dengan
tampalan.
Setelah Sophronius melihat tanda-tanda
tersebut ada pada Khalifah Umar al Khattab, kemudian dia meminta izin
kepada Umar untuk mengira berapakah tampalan yang ada pada baju yang
dipakainya. Ada 17 jahitan yang menampal pada baju Umar, dengan perasaan
penuh debaran dan ta’ajub Sophronius berkata,"Inilah tanda yang
ketiga, ya Tuhan. Tidak diberikan kunci-kunci Kota al Quds ini kecuali
kepada seorang pemimpin yang memiliki tiga tanda keagungan di mana
tanda-tanda inilah yang paling unggul dalam lembaran sejarah dan tidak
ternilai harganya (seperti yang disebut di dalam Injil), (1) Khadamnya
yang menunggang kenderaan. (2) Calitan debu-debu tanah. dan (3) Tampalan
pada baju".
Menurut Sophronius, tanda-tanda ini
menunjukkan bahawa kerajaan yang diperintah oleh Umar adalah kerajaan
yang akan relevan sepanjang zaman, tidak akan musnah ditelan peredaran.
Kemudian dia menambah lagi,"Aku tidak sedih (memberikan kunci kepada
Umar) kerana kalian masuk ke kota ini sebagai orang yang memiliki
kriteria tersebut (dalam Injil kami sebagai pembuka Kota Jerusalem),
(aku tidak gelisah) kamu menakluki perbendaharaan dunia ini sedang kami
dalam kawalan kalian. Kamu tentu menguasai kota ini selamanya dengan
aqidah Islam, pentadbiran Islam dan juga akhlak Islam".
Khalifah Umar menerima penyerahan kunci
kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Umar mengikat
jaminan keamanan penganut Kristian yang akan tetap tinggal di Jerusalem
(penduduk Iliya’).
"Menjadi kewajipan ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lai membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan oran Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalngan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Dan sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'".
"Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka".
Inilah sebahagian dari jaminan hak dan
keselamatan umat Islam kepada rakyat Iliya’. Rakyat Iliya’ diwajibkan
membayar jizyah, manakala yang telah memeluk Islam wajib membayar zakat.
Kota al Quds kemudiannya menjadi tanggungjawab umat Islam dan rakyat
Iliya’ untuk memeliharanya daripada ancaman dan pencerobohan musuh.
Perjanjian antara penganut Kristian dan masyarakat Islam ini dinamakan
sebagai ‘Wathiqah Umariyyah’ (The Umariyyah Covenant).
Setelah selesai upacara menandatangani
perjanjian perdamaian, Khalifah Umar berangkat menuju ke Baitul Maqdis,
salah satu tempat yang menjadi wasiat Baginda salallahualaihi wasalam
kepada umat Islam agar menziarahinya. Sehinggalah tiba waktu solat,
Sophronius mempelawa Saidina Umar melaksanakannya di Holy Sepulchure / Gereja al Qiamah
(tempat maqam suci Jesus yang didakwa oleh penganut Kristian). Tetapi
ajakan itu ditolak kerana Umar khuatir perbuatan tersebut akan menjadi
hujjah generasi Islam selepasnya untuk mengubah gereja menjadi masjid.
Saidina Umar kemudian meninjau sekitar
kawasan Gereja al Qiamah dan berjalan sepanjang 500 meter menuju ke
selatan, lalu beliau melakukan solat di tempat perhentiannya. Kawasan
tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh
Yahudi dalam pada 21 Ogos 1969.
Genap 10 hari Saidina Umar bersama
tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan
aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan menunaikan qiyam dan doa
kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis.
Lalu salah seorang bertanya kepada Umar,”Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”
“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringat Baginda salallahualaihi wasalam pernah bersabda…”
MAKSUDNYA : "Demi Allah,
bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi
yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada diri
kalian semua sebagaimana yang diperolehi oleh orang-orang sebelum
kalian. Lalu kamu semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya
sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian
seperti mereka dibinasakan (kerana kelalaian terhadap dunia)".
Setelah itu, Umar kembali bersama
khadamnya menuju Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya
berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata. - TARBAWI