PERGOLAKAN
di Mesir, ekoran rampasan kuasa tentera dan pembunuhan ribuan penunjuk
perasaan penyokong Presiden yang digulingkan, Dr Morsi, menimbulkan
banyak persoalan. Mampukah Ikhwan Muslimin bertahan dengan kezaliman dan
penindasan ini?
Wartawan Harakah,
AHMAD LUTFI OTHMAN dan
AZAMIN AMIN menemubual
Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, tokoh yang dianggap paling layak bericara mengenainya.
HARAKAH:
Apa yang boleh digambarkan situasi terkini di Mesir dan jangka hayat
perjuangan Ikhwan Muslimin, setelah melalui penindasan kejam yang begitu
dahsyat oleh tentera?
DR MOHAMMAD REDZUAN:
Mereka yang anti-Islam dan Israel dengan gembira beranggapan bahawa
Ikhwan Muslimin bakal mengalami zaman gelap dan tidak mempunyai masa
depan lagi dalam konteks proses politik di Mesir. Pihak tentera dan
musuh-musuh Ikhwan Muslimin di Mesir cuba menggunakan pendekatan yang
dilakukan di Algeria dalam usaha menindas gerakan Islam itu dan
memaparkan imej buruk sehingga perjuangan gerakan Islam tersebut ditolak
oleh majoriti rakyat.
Di Algeria berikutan tindakan tentera
merampas kuasa pada tahun 1992 dengan menafikan hak FIS untuk
memerintah, walaupun parti Islam itu berjaya mendapat sokongan majoriti
rakyat. Dalam pilihan raya tahun 1991 FIS berjaya mendapat 48 peratus
undi atau 88 daripada 231 kerusi yang dipertandingkan.
Disebabkan
gagal mendapat 50 peratus undi untuk menjadi pemenang mutlak, pusingan
kedua pilihan raya perlu diadakan yang hampir pasti akan memberikan
kemenangan kepada FIS. Bagi menghalang FIS daripada mencapai kemenangan
tentera dengan direstu Barat, khususnya Perancis, bertindak merampas
kuasa.
Berikutan tindakan tentera ini ramai dalam kalangan
pimpinan dan penyokong FIS ditangkap dan dipenjarakan. Mereka
termasuklah pemimpin utama FIS, seperti Abassi Madani dan Ali Benhaj
yang kemudiannya dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun.
Penindasan
kejam secara besar-besaran ini menyebabkan gerakan Islam menjadi
radikal dan bertindak balas terhadap regim yang disokong tentera. Ini
mengakibatkan ramai yang dibunuh dalam kalangan kedua-dua belah pihak,
yang sebahagiannya didalangi tentera sehingga menyebabkan kematian yang
dianggar 250,000 orang.
Melalui propaganda media dan
keterbatasan golongan penentang, pihak tentera dan sekular berjaya
memaparkan imej bahawa gerakan Islam yang telah mencetuskan keganasan
dan menyebabkan berlakunya kesengsaraan ke atas rakyat Algeria. Ini
mengakibatkan gerakan Islam ditolak rakyat Algeria dan mereka dianggap
gagal dalam menjadi alternatif kepada pemerintahan sedia ada.
Inilah
jawapan mengapa ketika berlaku Arab Spring di seluruh negara Afrika
Utara, Algeria seolah-olah tidak banyak terkesan dengan kebangkitan ini
dan regim yang memerintah boleh terus berkuasa dengan selesa.
Tentera Mesir menggunakan model sama dalam modus operandinya menindas Ikhwan Muslimin?
Ya,
tentera menggalakkan rakyat yang tidak menyokong Ikhwan Muslimin supaya
turun di jalan raya menyatakan protes. Kumpulan yang menamakan diri
mereka sebagai Tamarrod ini memberi gambaran bahawa puluhan juta rakyat
menentang pemerintahan Ikhwan Muslimin yang dipimpin Mohamad Morsi.
Dengan
menggunakaan alasan kebangkitan popular rakyat dan bagi mengembalikan
keadilan, tentera bertindak merampas kuasa pada 3 Julai 2013. Ramai
pemimpin Ikhwan Muslimin, termasuklah Morsi ditangkap. Ia diikuti
penangkapan besar-besaran yang melibat hampir semua pimpinan kanan
Ikhwan Muslimin di semua peringkat di seluruh negara.
Sebagai
tindak balas kepada tindakan tentera ini, penyokong Ikhwan mengadakan
protes secara aman, khususnya yang berpusat di Masjid Rabaa al-Adawiya.
Walaupun protes dilakukan secara aman, tentera bertindak ganas apabila
melakukan pembunuhan secara zalim pada Subuh 14 Ogos 2013.
Akibatnya
lebih seribu pengikut Ikhwan mati dibunuh. Pembunuhan ini diikuti
dengan penindasan kejam yang berterusan dilakukan. Pada 23 September
2013 Ikhwan Muslimin diharamkan dan harta miliknya dirampas.
Melihat
perkembangan yang melibatkan Ikhwan Muslimin ini jelas menunjukkan
tentera cuba menggunakan skrip sama seperti dilakukan ke atas FIS di
Algeria dan penindasan kejam ke atas Ikhwan pada 1954 dengan
mengharapkan hasil yang sama.
Namun begitu, ternyata terdapat
perbezaan agak nyata dari segi reaksi dan proses yang berlaku. Pada 1954
regim tentera yang menggelarkan diri mereka Free Officers (Pegawai
Tentera Bebas) dengan diketuai Gamal Abd al-Nasser berada pada kedudukan
amat popular setelah menggulingkan Raja Farouk.
Melalui
reformasi tanah yang amat popular di kalangan penduduk desa, Nasser
muncul sebagai seorang wira yamg memberikan harapan setelah penduduk
berdekad-dekad dieksploitasi tuan-tuan tanah yang kaya. Nasser juga
berjaya menghapuskan pengaruh tuan-tuan tanah ini dan pengaruh parti
Wafd yang sebelumnya merupakan sebuah parti yang popular kerana
memperjuangkan kemerdekaan Mesir daripada penjajahan British.
Musuh
Nasser pada waktu ini hanyalah Ikhwan Muslimin yang lebih tertumpu
pengaruhnya di kawasan kota. Dengan jentera propaganda dan menggunakan
sokongan popular rakyat, Ikhwan berjaya ditindas dan tidak mampu untuk
menjadi saingan regim Nasser dan rakan-rakannya selama berdekad-dekad.
Manakala kumpulan seperti Parti Wafd, Baath, Nasionalis dan lain-lain
semuanya terkubur.
Mungkin kekuatan tarbiyyah menyebelahi Ikhwan?
Walaupun
dengan pengharaman dan penindasan, namun kekuatan intelektual, dibantu
program usrah dan tarbiyyah yang berterusan serta tersusun, Ikhwan
Muslimin masih mampu meneruskan keberadaan dan kesinambungan dalam
masyarakat, walaupun mengalami pelbagai bentuk penindasan silih
berganti.
Dalam konteks penindasan kejam, Ogos lalu, tentera
berbuat demikian sebagai provokasi. Mereka mengharapkan tindak balas,
kerana tidak balas Ikhwan akan menyebabkan Ikhwan kehilangan sokongan
rakyat. Sebaliknya, Ikhwan bertindak matang dengan tidak bertindak balas
yang menumpahkan darah, malahan mengambil sikap menjauhkan diri
daripada kumpulan yang yang mensasar pihak tentera dan polis sebagai
sasaran ganas membalas dendam.
Selain itu, Ikhwan Muslimin juga
berjaya meraih simpati di atas kezaliman yang mereka terima sehingga
berjaya melahirkan symbol RABIA yang popular, bukan sahaja di Mesir,
malahan di seluruh dunia sebagai simbol penentangan terhadap kezaliman
tentera di bawah Abd al-Fattah al-Sissi.
Tindak balas Ikhwan
lebih tertumpu kepada protes jalanan yang dilakukan secara mingguan. Dan
itupun ditumpukan di kawasan-kawasan yang kurang berisiko yang boleh
membawa kepada pertumpahan darah.
Melalui peranan media sosial
yang tidak ada pada 1954 dan ketika penindasan ke atas FIS pada 1992,
Ikhwan Muslimin berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka
konsisten dalam perjuangan menentang regim yang zalim dan berusaha
membawa Mesir ke arah masa depan lebih baik.
Pendekatan Ikhwan
ini ternyata berjaya mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan
tersebut dan meletakkan pemerintah tentera di bawah al-Sissi dalam
keadaan tersepit. Tragedi ribuan penyokong Ikhwan yang memprotes secara
aman dibunuh dengan kejam telah memadamkan mitos yang disebarkan sebelum
ini, yang menuduh Ikhwan tidak menyumbang peranan besar dalam memaksa
Hosni Mubarak meletak jawatan pada bulan Februari 2011 sehingga
mengakibatkan sekitar 500 orang mati terbunuh.
Ikhwan
membuktikan bahawa pengorbanan mereka untuk membawa Mesir ke arah negara
yang lebih cemerlang adalah lebih mendalam, lebih lama dan telah banyak
memakan korban.
Mampukah pendekatan zalim tentera dalam usaha menindas Ikhwan Muslimin ini menghapuskan pengaruh Ikhwan Muslimin?
Dari
segi sejarah, Ikhwan Muslimin perlu difahami kewujudannya sebagai
sebahagian daripada masyarakat Mesir. Sejak ditubuhkan pada 1928,
Ikhwan sudah melalui pelbagai penindasan dahsyat, jauh mengatasi
penindasan sekarang.
Sehingga waktu ini pemimpin utama Ikhwan
cuma ditahan dan belum lagi ada yang mati di tali gantung, sedangkan
penindasan tahun 1954 mengakibatkan hampir semua pemimpin utama gerakan
Islam ini seperti Abd Kader Audah, Abd al-Fattah Ismail, Yusoff Tayyib
dan lain-lain mati di tali gantung.
Dalam sejarah Mesir,
terbukti parti-parti sekular dan nasionalis seperti Wafd, Saadist, Baath
dan lain-lain sudah lama terkubur dengan penindasan kejam. Namun
begitu, Ikhwan Muslimin yang ditindas dengan lebih hebat masih mampu
bangun dan tampil dengan gagah di tengah-tengah masyarakat pada tahun
2011-2012.
Terbukti suasana hari ini banyak berubah. Menggunakan
skrip dan modus operandi lama untuk menindas Ikhwan tidak lagi boleh
dilakukan secara seweanang-wenangnya. Masyarakat Mesir hari ini bukan
lagi masyarakat yang didominasikan petani dan tuan tanah.
Kelompok
kelas menengah dan terpelajar semakin membesar dalam masyarakat. Mereka
ini terdedah kepada teknologi maklumat yang tidak lagi mudah
diperbodohkan dengan propaganda popular. Penggunaan Internet, Youtube,
facebook dan kemudahan media yang digunakan secara meluas merupakan
senjata yang lebih berkesan daripada mengangkat senjata dan perjuangan
yang menumpahkan darah.
Penggunaan media sosial ini berjaya
memberi kesan besar dan mendalam dalam penentangan Ikhwan terhadap
regim haram yang menggulingkan presiden yang dipilih rakyat. Melalui
media sosial ini juga pelbagai konspirasi berjaya didedahkan. Pemerintah
tentera juga gagal mendapat dukungan rakyat kerana mereka yang dipilih
menggantikan pemerintahan yang diterajui Ikhwan merupakan mereka yang
ditolak rakyat.
Memilih Amr Musa sebagai orang yang diberi
kepercayaan merangka perlembagaan baru tidak mengembalikan keyakinan
rakyat kepada tentera kerana beliau pernah ditolak dalam pilihan raya
apabila bertanding sebagai presiden.
Setelah
lebih empat bulan tentera menggulingkan kerajaan Mohamad Morsi,
ternyata kestabilan yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan. Ikhwan
masih mampu menganjurkan demonstrasi setiap minggu dan semakin mendapat
sambutan. Jangkaan dan konspirasi pihak tentera bahawa akan berlaku
pertumpahan darah secara meluas juga tidak berlaku kerana para penunjuk
perasaan mengelak daripada berlaku pertembungan secara terbuka dengan
pihak polis.
Kekhuatiran bahawa Mesir akan terjerumus ke kancah
perang saudara seperti di Syria ternyata tidak berlaku. Pihak tentera
berada dalam keadaan tertekan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi
membolehkan mereka terus popular dan tidak ditolak rakyat. Pembunuhan,
penangkapan dan penindasan ke atas Ikhwan tidak melumpuhkan sama sekali
gerakan tersebut, walaupun tidak dapat dinafikan terdapat kesan pahit
yang terpaksa ditanggung.
Banyak pihak menyalahkan Morsi, khususnya kegagalan Ikhwan Muslimin untuk terus berkuasa. Apa pandangan Prof?
Memang
tidak dapat dinafikan, Morsi ada kelemahannya. Tetapi pengkaji yang
rasional harus berlaku adil kepada Morsi. Mustahil bagi Morsi, dalm
tempoh setahun, untuk menyelesaikan masalah yang berdekad-dekad dihadapi
Mesir.
Morsi mewarisi sistem pemerintahan yang lemah dari segi
struktur politik, ekonomi yang tidak seimbang, masyarakat yang tidak
bersistem, sistem pendidikan yang tidak berdaya saing dan pelbagai
kelemahan yang sengaja dibiarkan oleh pemerintah sebelum ini yang lebih
mementingkan bagaimana untuk terus kekal memerintah.
Bagi mereka
yang pernah berada di Mesir, sebagai pelajar atau pelancong, akan dapat
melihat dengan jelas bagaimana terbelakangnya Mesir. Agenda
memperbodohkan rakyat yang diwarisi sejak zaman Firaun diteruskan setiap
pemerintah hingga ke zaman Hosni Mubarak.
Agenda memperbodohkan
rakyat ini seolah-olah diperlukan kerana lagi bodoh rakyat lagi baiklah
kepada pemerintah. Rakyat yang diperbodohkan ini akan terus bergantung
kepada kerajaan dan membolehkan pemerintahan tidak tercabar.
Makin
rakyat bodoh, lebih bagus kerana sekali gus rakyat terlalu bergantung
kepada kerajaan. Agenda negara yang memperbodoh dan memiskinkan rakyat
menguntungkan pemerintah sehingga meletakkan rakyat dibuai dengan
keyakinan bahawa mereka sudah diberikan yang terbaik dan perlu sentiasa
bersyukur dengan pemberian pemerintah.
Mungkin pengalaman Prof mengajar pelajar Mesir di Universiti Kaherah sejak tahun 2003 dapat menjelaskan lagi situasi di sana?
Dalam
kalangan pelajar di Mesir, pilihan utama sebagai pusat melanjutkan
pengajian tinggi dan dianggap paling berprestij ialah dengan belajar di
American Cairo Universiti (AUC), diikuti Universiti Kaherah dan
kemudiannya barulah diikuti pilihan universiti-universiti lain. Selain
berprestij, kedua-dua universiti ini dianggap universiti golongan elit
dan berada.
Bagi golongan ini, mereka yang mengambil bidang
agama, khususnya yang belajar di Universiti al-Azhar adalah dianggap
tidak berkemampuan dan datang dari kawasan luar bandar. Di Universiti
al-Azhar yurannya secara relatifnya percuma jika dibandingkan dengan
universiti berprestij ini yang mengenakan yuran yang tinggi. Bagi
pelajar universiti berprestij ini mereka memandang rendah pada
universiti yang memberikan pendidikan secara percuma.
Walaupun
berbangga dengan belajar di universiti yang dianggap tersohor, seperti
Universiti Kaherah, pengamatan saya berinteraksi dengan pelajar daripada
pelbagai bidang pengajian, mendapati bahawa mutu pendidikan yang mereka
terima amat rendah.
Pengetahuan am mereka tentang dunia amat
sedikit dan bukan perkara aneh bagi pelajar daripada universiti tersohor
ini tidak menyedari bahawa Malaysia mempunyai bangunan tinggi, bilik
berhawa dingin dan umat Islam yang mampu hafal al-Quran. Universiti di
Mesir juga menjalankan polisi mengambil jumlah pelajar yang ramai dan
mutu pendidikannya tidak dipantau dengan mendalam.
Dalam salah
satu dialog, saya pernah bertanya dekan sebuah fakulti di Universiti
Kaherah yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai tentang perancangan
tenaga manusia fakultinya. Agak mengejutkan apabila jawapan yang
diberikan ialah fakultinya tidak ada sebarang perancangan khusus tentang
lulusan fakultinya. Menurutnya, terpulanglah kepada pelajar untuk
menyertai karier yang ingin mereka lakukan dan dianggap sesuai apabila
tamat pengajian.
Selain
itu, pengamatan saya terhadap pelajar Universiti Kaherah juga mendapati
bahawa pelajarnya juga kurang komitmen terhadap pelajaran. Mereka pergi
ke universiti sekadar mendapatkan ijazah semata-mata tanpa mengambil
kira ilmu yang diperoleh. Inilah senario perkembangan pendidikan di
Mesir. Ini belum lagi dilihat pendidikan di sekolah menengah dan
rendah.
Saya ingin membandingkan pula perkembangan pendidikan
di negara-negara maju. Dalam kunjungan saya ke negara Scandinivia
(Sweden, Norway, Denmark dan Finland), walaupun penduduknya tidak ramai,
pendidikannya amat maju hingga negara tersebut berjaya menghasilkan
banyak produk yang dimanfaat oleh manusia seluruhnya.
Melalui
pendidikan yang maju masyarakat Scandinivia berjaya menjalani kehidupan
berkualiti. Dengan kemajuan yang mereka capai dan jika mengikut kadar
pergerakan seperti sekarang, saya menjangka 100 tahun lagipun Mesir
tidak mampu bersaing dengan mereka. Ini adalah satu contoh cabaran yang
paling asas yang terpaksa dihadapi oleh Morsi apabila dilantik menjadi
presiden.
Bukankah kerajaan Morsi juga mewarisi pemerintahan lama yang sarat dengan pelbagai kelemahan yang tidak memihak kepadanya?
Benar,
kehakiman bukan sahaja tidak memihak kepadanya, malahan berusaha untuk
menyekat bidang kuasanya sebagai presiden yang dipilih rakyat.
Sebaik-baik menduduki kerusi presiden, mahkamah menggantung parlimen
apabila keputusan dibuat bahawa pelantikan mereka tidak sah.
Mahkamah
juga cuba menghad kuasa beliau sehingga memaksanya mengeluarkan dekri
bahawa keputusan yang dibuat oleh presiden tidak boleh dicabar. Walaupun
tindakan ini wajar, namun ini dijadikan propaganda oleh golongan
penentang bagi bertujuan memberi persepsi bahawa beliau ingin membolot
kuasa dan memerintah secara diktator.
Presiden Morsi juga
mewarisi pasukan keselamatan yang tidak membantunya menyelesaikan
masalah rakyat yang paling asas, iaitu keselamatan.
Pasukan
polis sengaja membiarkan jenayah berleluasa bagi memberikan gambaran
bahawa kerajaan Morsi gagal mengawal keamanan. Keadaan ini menimbulkan
kegelisahan rakyat yang merasakan mereka lebih selamat ketika
pemerintahan Hosni Mubarak. Pada zaman Mubarak polis mengambil tindakan
keras bagi mengekang jenayah sehingga menyebabkan masyarakat merasa
takut melakukan sebarang tindak tanduk yang menyalahi undang-undang.
Mesir
juga tidak dapat lari daripada konflik serantau, khususnya dalam isu
Gaza dan hubungan dengan Israel. Mesir yang stabil dan kuat amat
dibimbangi Israel. Kepungan dan serangan ke atas Gaza memaksa Mesir
untuk turut terlibat. Mesir yang bergelut pelbagai kemelut dalam negeri
turut terseret dengan konflik serantau yang kompleks yang tidak nampak
penghujungnya. Menangani konflik ini menyebabkan Morsi terpaksa
memberikan tumpuan dengan waktu sama terpaksa menyelesaikan masalah
dalam negeri yang juga rumit.
Selain cabaran dan kekangan ini,
cabaran terbesar Morsi ialah daripada tentera. Angkatan tentera berkuasa
sejak tahun 1952 dan pengaruh mereka sudah berakar umbi. Di Mesir
tentera adalah satu institusi. Mereka bukan sahaja terlibat sebagai
pasukan bersenjata yang menjaga pertahanan Mesir, tetapi juga pada waktu
yang sama terlibat dalam kegiatan ekonomi. Sepertiga kegiatan ekonomi
Mesir dikuasai oleh tentera.
Setiap
tahun Mesir mendapat bantuan sebanyak dua billion USD dari Amerika
Syarikat yang sebahagian besarnya diperuntukkan kepada tentera. Tentera
juga memiliki keistimewaan tersendiri dan merupakan kelompok istimewa
dalam masyarakat Mesir. Dengan keistimewaan ini tidak mudah untuk mereka
menyerahkannya kepada kerajaan yang dipimpin Morsi.
Walaupun
dengan keterbatasan, sebenarnya Mesir mempunyai potensi yang amat besar
untuk maju. Selain kedudukan strategik, Mesir mempunyai penduduk yang
ramai dengan pasaran besar yang potensinya tidak dimanfaatkan ke
peringkat maksimum. Ini disedari Morsi. Dengan sebab itulah Morsi cuba
memajukan Semenanjung Sinai bagi mengurangkan tekanan Kaherah dengan
kepadatan penduduknya yang tidak boleh ditampung lagi.
Selain
itu, Semenanjung Sinai juga merupakan tanah yang luas dan subur serta
mempunyai potensi untuk menjadi kawasan yang maju seperti yang berjaya
dilakukan olegh Israel. Mesir juga mempunyai potensi yang amat besar
dalam industri pelancongan. Namun begitu, industri ini tidak dibangunkan
dengan baik. Pelancong yang datang ke Mesir untuk melakukan lawatan
ulangan untuk kali kedua dan seterusnya agak kecil kerana sistem yang
ada tidak efisyen dan persekitaran pelancongan yang tidak begitu
kondusif.
Selain kekangan yang dihadapi Morsi, mungkin ada juga kelemahan dalam tempoh setahun pemerintahannya?
Sebaik
menjadi Presiden, Morsi menjanjikan perubahan drastik dalam tempoh 100
hari pemerintahannya. Pengisytiharan ini terlalu bercita-cita tinggi,
kerana beliau bukan meneruskan kesinambungan, sebaliknya memulakan satu
yang baru dari awal. Lantaran itu, apabila sebahagian besar janjinya
tidak dapat ditunaikan ini dijadikan propaganda bagi menggambarkan
kelemahan pimpinannya.
Walaupun ada percubaan Morsi untuk
menjadi pemerintahannya sebagai suatu yang inklusif, namun ternyata ini
tidak berjaya memberikan persepsi positif dalam kalangan masyarakat.
Persepsi masyarakat masih lagi beranggapan Morsi cuba mengikhwankan
Mesir, bukan menjadi presiden seluruh rakyat. Seperti dalam tahun 1954,
Ikhwan juga tidak berjaya dalam tahun 2012, untuk memantapkan kesepaduan
di kalangan pucuk pimpinannya.
Ketika menghadapi pelbagai
cabaran aktivis Ikhwan terbahagi beberapa kelompok disebabkan perbezaan
uslub (pendekatan). Tokoh Ikhwan seperti Moneim Abd al-Futuh dan Kamal
Helbawi mengkritik secara terbuka pendekatan Ikhwan Muslimin dan ini
turut dijadikan sebagai bahan sasaran pihak musuh politik untuk
menyerang Ikhwan.
Walaupun kabinet dalam kerajaan Ikhwan Muslimin
turut disertai oleh orang Kristian, wanita dan golongan liberal, namun
gambarannya kerajaan ini masih tebal dengan dominasi Ikhwan. Lantaran
itu, apabila kerajaan Morsi digulingkan kelompok lain, tidak merasainya
sebagai satu kehilangan besar.
Siapakah yang menjadi penyokong tegar Ikhwan Muslimin dan mampukah Morsi mengekalkan sokongan yang diberikan?
Jika
dilihat pola sokongan terhadap Ikhwan Muslimin melalui parti FJP
(Parti Kebebasan dan Keadilan), ternyata sokongan paling kuat diterima
di Muhafazah (wilayah). terletak di luar Kaherah seperti Sinai, Assiut
dan Aswan. Di Kaherah sokongan banyak diterima dari kawasan kelas rendah
dan menengah rendah. Bagi kawasan elit seperti di Muhandisin dan Tahrir
yang ramai didiami golongan kaya dan elit, sokongan terhadap Morsi
tidaklah begitu kuat.
Secara perbandingan hal sama berlaku di
Turki. Bagi kawasan yang ramai didiami golongan sekular,
kecenderungannya lebih menyokong CHP, bukan AKP. Di kawasan pelancongan
di Turki seperti Marmara, Samsun dan sebagainya, yang pegangan kepada
agama agak longgar, sokongan terhadap AKP agak lemah jika dibandingkan
dengan kawasan desa yang masih kuat berpegang kepada agama.
Masyarakat
Mesir yang diwarisi oleh Morsi merupakan masyarakat yang mempunyai
jurang ekonomi dan perbezaan taraf hidup yang amat luas. Bagi golongan
miskin, yakni kelompok majoriti, kemiskinannya amat ketara, kehidupan
cukup daif. Golongan kaya pula dengan kekayaan luar biasa, walaupun
jumlahnya kecil. Gaya hidup mereka mengikut cara Barat. Mereka bercuti
di Paris, London atau New York, manakala jika bercuti dalam negeri
destinasinya ialah Sharm al-Sheikh.
Bagi golongan miskin mereka
hanya bercuti Iskandariah. Dalam masyarakat Mesir, kelas menengah agak
kecil dan lebih tertumpu kepada kelas menengah rendah. Bagi golongan
miskin, yang menjadi keprihatinan adakah makanan akan berada di atas
meja pada waktu makan seterusnya. Bagi golongan ini keprihatinan
terhadap perkembangan negara, apatah lagi meningkatkan martabat ummah,
amat sedikit.
Lantaran itu, apabila berlaku kebangkitan yang
memaksa peletakan jawatan Hosni Mubarak, penggerak utamanya ialah
golongan kelas menengah rendah dan belia. Golongan menengah atas dan
golongan elit yang yang sekular selesa dengan pemerintahan regim Mubarak
dan tidak terlibat secara langsung dalam kebangkitan.
Apabila
Morsi dilantik presiden mewakili FJP. golongan elit masih terus dengan
sikap anti-Ikhwan. Kelas rendah memberi sokongan dengan harapan mendapat
hasil segera. Ini dilema pemerintahan Morsi sehingga menyebabkan ramai
yang menyokongnya bertindak menyertai Tamarrod kerana tidak mendapat
manfaat segera sebagaimana diharapkan.