Peristiwa ini
berlaku sewaktu pimpinan Bani Israil, yakni selepas kewafatan Nabi Musa a.s. Bani
Israil adalah suatu kaum yang mempunyai ramai nabi-nabi, di dalam sejarah
mereka yang panjang.
Pada suatu
ketika, para pembesar dan cerdik pandai Bani Israil telah berkumpul dan menemui
nabi mereka (tidak disebut nama nabi itu
di dalam al-Qur’an) supaya dapat melantik seorang raja/pemimpin
yang dapat menentang Jalut dalam peperangan fi sabilillah.
“Apakah tidak kamu
melihat kepada pemimpin-pemimpin dari Bani Israil selepas Musa wafat, ketika
mereka berkata kepada seorang nabi mereka: Angkatlah untuk kami seorang raja agar
kami dapat berperang fi Sabilillah” – al-Baqarah:246
Permintaan
untuk perang Fi Sabilillah ini menggambarkan seolah-olah timbul kesedaran
keimanan di dalam jiwa mereka. Sekaligus menunjukkan mereka menganut agama
Allah yang benar dan musuh mereka adalah bathil, sesat dan kafir.
Kemudian nabi
mereka ingin memastikan sejauh manakah keazaman dan kekukuhan niat mereka untuk
melaksanakan tugas berat ini. Juga ketaatan mereka kepada kata-kata seorang
nabi sepertinya.
“Kata (nabi mereka);
Apakah mungkin jika kamu diwajibkan berperang bahawa kamu tidak mahu berperang?”
– al-Baqarah:246
Kebimbangan
Nabi mereka adalah disebabkan jika dia bersetuju dengan permintaan tersebut,
maka peperangan akan menjadi satu kefardhuan ke atas kaumnya. Adalah wajib bagi
mereka taat kepada arahan nabi dengan tidak berbelah bagi.
Oleh kerana
keghairahan dan semangat ingin berjuang melonjak-lonjak, mereka berkata;
“Mengapa kami tidak mahu
berperang fi sabilillah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami
dan (dipisahkan dari) anak-anak kami?” – QS al-Baqarah:246
Hati mereka
bertekad bahawa satu-satunya jalan yang ada ialah berperang. Ini adalah kerana
mereka telah diusir dari kampung halaman dan anak-anak mereka telah ditawan.
Malangnya
apabila peperangan benar-benar diarahkan, ramai yang mula berdolak-dalih, cuba
mengingkari janji, tidak lagi taat kepada nabi mereka, mula berpecah-belah dan
berpaling dari kebenaran. Inilah sifat-sifat buruk Bani Israil sejak dahulu
lagi.
“Maka apabila peperangan
telah diwajibkan ke atas mereka, mereka berpaling darinya kecuali sebahagian
kecil daripada mereka. Dan Allah itu Maha
Mengetahui terhadap orang-orang yang zalim.” QS- al-Baqarah:246
Allah swt mengecam
mereka yang berpaling dari kewajipan berjihad (perang). Bukan sahaja mereka telah
menzalimi diri mereka sendiri, malah mereka telah menzalimi nabi mereka dan menzalimi
perjuangan yang benar.
Kemudian nabi
mereka mengkhabarkan kepada mereka;
“Allah telah
mengangkatkan Thalut sebagai raja kamu.” QS-al-Baqarah:247
Mendengarkan demikian,
ada lagi pula yang mula membantah. Mereka merasakan bahawa Thalut tidak layak
menjadi raja mereka kerana dia tidak setaraf dengan mereka. Malah Thalut adalah
seorang yang miskin. Oleh itu dia tidak berhak menerima warisan sebagai seorang
raja. Mereka telah berkata kepada nabi mereka itu;
“Bagaimana Thalut diberi
kuasa memerintah kami sedangkan kami lebih berhak darinya memegang kuasa
pemerintahan itu, lagi pula dia tidak diberikan harta kekayaan yang luas?” QS-
al-Baqarah:247
Nabi mereka
menjawab;
“Sesungguhnya Allah
telah memilihnya untuk memerintah kamu dan Dia telah menambahkan kepadanya
keluasan ilmu pengetahuan dan keperkasaan tubuh badan dan Allah mengurniakan
kuasa pemerintahan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas
limpah kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.” QS- al-Baqarah:247
Nabi mereka
menjelaskan bahawa Thalut adalah seorang yang dipilih oleh Allah, mempunyai
kelebihan ilmu pengetahuan, mempunyai kekuatan jasmani dan yakinlah bahawa
Allah swt lebih mengetahui siapakah yang lebih layak memikul tugas raja ini.
Demi
meyakinkan hati-hati mereka, mereka ingin melihat suatu mu’jizat secara zahir yang
membuktikan bahawa Thalut adalah pilihan Allah swt. Ini juga satu sifat buruk
yang selalu dimiliki oleh Bani Israil.
Kemudian nabi
mereka berkata;
“Sesungguhnya tanda
kelayakannya menjadi raja ialah datangnya Tabut kepada kamu yang mengandungi
ketenteraman dari Tuhan kamu dan sisa-sisa dari peninggalan keluarga Musa dan
keluarga Harun dibawa oleh para malaikat. Sesungguhnya kejadian itu sebagai
tanda kepada kamu jika kamu benar orang-orang yang beriman.” QS-al-Baqarah:248
Selepas
kewafatan Nabi Musa a.s di al-Tiih, Nabi Yusya’ bin Nun bersama Bani Israil
keluar dari al-Tiih menuju ke Baitul-Maqdis. Mereka berjaya menakluki
Baitul-Maqdis dan merampas harta rampasan termasuk peninggalan-peninggalan suci
mereka iaitu sebuah peti atau Tabut yang mengandungi barang-barang peninggalan
para ambia’ dari keluarga Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s. Menurut satu
riwayat peti itu mengandungi naskah loh-loh Taurat yang dikurniakan kepada Nabi
Musa a.s di atas bukit Tursina. Inilah Mu’jizat yang akan mereka lihat, ia dibawa
oleh para malaikat dan hati mereka akan merasa tenang dan tenteram olehnya.
Mu’jizat ini telah berjaya meyakinkan kaum Bani Israil.
Seterusnya,
Thalut mempersiapkan tenteranya yang masih tinggal dan membawa mereka ke medan
perang seraya berkata;
“Sesungguhnya Allah akan
menguji kamu dengan sebuah sungai. Sesiapa yang minum dari sungai itu, maka dia
bukan dari pengikutku kecuali orang yang mencedok secedok dengan tangannya.
Lalu mereka minum air sungai itu kecuali sedikit sahaja dari mereka.” QS al-Baqarah:249
Ternyata
tentera-tenteranya teruji dengan kesabaran, kepatuhan kepada ketua dan
kesanggupan menghadapi kesusahan dalam memikul tugas. Ujian demi ujian mereka
tempuhi, akhirnya hanya sedikit dari kalangan mereka yang berjaya. Kebanyakan
daripada mereka telah meminum air sungai dengan sepuas-puasnya dan menyerah
kalah untuk tidak terus berjuang.
Ujian-ujian
ini telah dapat menapis keimanan angkatan tentera Thalut;
“Dan apabila Thalut dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya menyeberangi sungai itu, mereka
pun berkata: Kami tidak mempunyai tenaga kekuatan lagi pada hari ini untuk
melawan Jalut dan tentera-tenteranya.”
QS al-Baqarah:249
Kini Thalut
bersama dengan tenteranya yang beriman, namun sebahagian daripada mereka mula
berasa gentar apabila melihat tentera Jalut yang ramai bilangannya. Keimanan
mereka masih belum sempurna kerana mereka lupa dengan kekuasaan Allah swt yang
Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
Manakala
kumpulan kecil Mukmin yang sejati berkata;
“Lalu berkatalah
orang-orang yang yakin bahawa mereka akan tetap menemui Allah: Berapa banyak
peristiwa kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan yang banyak dengan
keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.” QS
al-Baqarah:249
Kemenangan
pasti akan dicapai oleh mereka yang berhubung rapat dengan sumber kekuatan yang
tiada tolok bandingnya lagi iaitu kekuatan dari Allah swt yang menguasai segala
urusan. Kemenangan diserahkan kepada Allah swt; “Dengan keizinan Allah, dan Allah itu
bersama-sama orang-orang yang sabar.”
Mereka juga
memperbaharui janji mereka dengan Allah swt dan bertawajjuh kepada-Nya dengan
hati mereka. Mereka juga memohon pertolongan dan kemenangan dalam menghadapi
peperangan ini.
“Dan apabila (mereka
yang beriman) keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa: Wahai Tuhan
kami! Curahkanlah kesabaran ke atas kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan
tolonglah kami mengalahkan kaum yang kafir.” QS al-Baqarah:250
Inilah doa
yang tulus ikhlas kepada Allah swt. Oleh yang demikian Allah swt telah
mencurahkan kesabaran keatas mereka dan membuatkan mereka diselubungi dengan
ketenangan, ketenteraman dan ketabahan menghadapi kesusahan. Apabila Allah swt
meneguhkan pendirian mereka, maka ia tidak akan bergoncang lagi.
“Lalu mereka mengalahkan
musuh mereka dengan keizinan Allah dan Daud telah membunuh Jalut dan Allah
mengurniakan kepadanya kerajaan dan hikmat dan mengajarkan kepadanya sebahagian
dari ilmu yang dikehendaki-Nya.”
QS al-Baqarah:251
Kemenangan
adalah milik Allah swt. Anugerah ini adalah untuk Mukmin kesayangan-Nya yang
melaksanakan kehendak-Nya dengan tiada kepentingan diri sendiri. Niat yang baik
dan keazaman yang kukuh untuk terus taat dan bertawajjuh kepada Yang Esa dengan
penuh keikhlasan.
Nabi Daud a.s
ketika itu adalah seorang anak muda Bani Israil yang masih belia, sedangkan
Jalut adalah seorang raja yang gagah perkasa dan seorang panglima perang yang
sangat ditakuti. Namun urusan hidup tidak berlangsung mengikut keadaan-keadaannya
yang lahiriyah tetapi ia berlangsung mengikut hakikat-hakikatnya yang berada di
tangan Allah swt.
Kematian
Jalut kelihatan sangat mudah ditangan Nabi Daud a.s. Malah baginda telah
menerima teraju pemerintahan daripada Thalut. Kemudian mewariskannya kepada
putera beliau iaitu Nabi Sulaiman a.s. Zaman Nabi Daud a.s adalah zaman
keemasan bagi Bani Israil.
Di dalam masa
yang sama, Nabi Daud a.s diangkat sebagai seorang nabi. Allah swt telah
mengajarkan beliau ilmu pertukangan membuat baju besi dan alat-alat perang.
Tujuan
sebenar pertarungan ini ialah untuk mewujudkan kebaikan di bumi dan menguatkannya
melawan kejahatan dan pencerobohan.
“Dan andainya Allah
tidak menolak pencerobohan setengah yang lain tentulah bumi menjadi rosak,
tetapi Allah mempunyai limpah kurnia ke atas semesta alam.” QS
al-Baqarah:251
Allah swt mengakhiri
kisah ini dengan firman-Nya;
“Itulah
ayat-ayat Allah yang Kami bacakannya kepadamu dengan membawa kebenaran dan
sesungguhnya engkau adalah dari nabi-nabi yang diutuskan(Allah).” QS
al-Baqarah:252
Kisah ini adalah kisah
benar. Allah swt sendiri yang membacakannya sebagai pedoman kepada Rasulullah
saw dan umatnya terhadap umat yang terdahulu.
Pengajaran
yang boleh diambil:
1.
Bani
Israil biasanya mempunyai sifat yang suka memungkiri janji, mengelak dari
ketaatan, enggan melaksanakan tugas, berpecah-belah dan berpaling dari
kebenaran yang jelas. Sifat-sifat ini hendaklah dijauhi oleh orang-orang Islam.
Untuk mengubahnya memerlukan tarbiyah yang berkesan dan memakan masa yang agak
lama.
2.
Orang
yang berpaling dari perjuangan dan enggan memikul tugas kebenaran untuk
menentang kebathilan adalah termasuk di dalam golongan yang zalim.
3.
Di
dalam ketenteraan, orang yang tidak tahan diuji dan cepat mengalah dengan kesusahan
adalah orang-orang yang patut dikeluarkan dari barisan perjuangan kerana mereka
merupakan benih-benih kelemahan dan kekalahan.
4.
Berniat
berjuang Fi Sabilillah sahaja tidak mencukupi. Ia akan teruji secara amali/praktikal.
5.
Kemenangan
yang hakiki adalah melalui kekuatan aqidah dan iradat Ilahi. Bukannya tertakluk
kepada kekuatan kebendaan dan majoriti.
6.
Hubungan
jiwa dengan Allah swt perlulah tinggi dan ikhlas. Ini dapat direalisasikan
melalui doa-doa yang mathur.
7.
Kepimpinan
hanya akan diberi kepada seorang Mukmin yang sejati, taat dan patuh terhadap
kehendak Sang Pencipta yang memiliki segala urusan di langit dan di bumi.
Wallahu’alam
Sumber:
1. Al Quran Surah al-Baqarah 246 – 252
Tak semestinya seorang Tok Guru adalah yang terbaik untuk jadi PM. Kisah inj jelas menunjukkan bahawa disini Talut yang dipilih untuk jadi pemimpin dan bukannya nabi ketika itu.
ReplyDeleteKisah ini juga jelas menunjukkan bahawa khidmat nasihat dari nabi ketika itu diperlukan untuk memilih pemimpin...oleh kerana Rasulullah SAW adalah nabi terakhir maka zaman ini khidmat nasihat dari pewaris Baginda diperlukan untuk memilih pemimpin.....ado?
Deleteseringkali pemimpin yang bijak terjerumus ke dalam kedzoliman
ReplyDelete