Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya
membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat
untuk membaca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga
untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a. maksudnya:
"Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada
bangsa malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah."
Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga
Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan
sahaja." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w.
keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: "Aku merasa cemburu."
tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: "Wahai Aisyah apa sudah
jadi, apakah engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana aku tidak cemburu
orang yang seumpama engkau ya Rasulullah." Sabda Baginda: "Apakah
engkau telah dikuasai oleh syaitan?" Aku bertanya: "Apakah aku ada
syaitan?" Sabda Baginda: "Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin." Aku
bertanya lagi: "Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?" Jawab
Baginda: "Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk
Islam." (Riwayat Muslim)
Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud: "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua
perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga
dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi
Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan." (Riwayat
Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang
mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang
kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang
megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus,
"Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir,
makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu." Sebaliknya syaitan
yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama
dengannya dan begitu juga minum."
Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal
dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin
terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun,
apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke
hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak
bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Sumber: http://isuhangat.blogspot.com/