Pada tahun 1912, Charles Dawson, seorang
doktor terkenal yang juga merupakan ahli paleontologi amatur, mendakwa
telah menemui satu tulang rahang dan serpihan tengkorak dalam sebuah
lubang batu berhampiran desa Piltdown di England. Walaupun tulang rahang
menyerupai beruk, tetapi gigi dan tengkoraknya menyerupai manusia.
Spesimen ini diberi nama Manusia Piltdown (Piltdown Man),
dianggarkan berumur 500,000 tahun, dan telah dipamerkan di beberapa buah
muzium sebagai bukti evolusi yang paling kukuh. Selama kira-kira 40
tahun, ia menjadi subjek kepada banyak kertas kerja saintifik, analisis
dan pembinaan semula. Kira-kira 500 ahli akademik dari pelbagai
universiti di seluruh dunia menyediakan tesis kedoktoran berdasarkan
subjek Piltdown Man ini.1
Dalam satu lawatan ke Muzium British
pada tahun 1935, seorang ahli paleontologi tersohor Amerika bernama H.F.
Osborn mengisytiharkan bahawa manusia Piltdown adalah "satu penemuan
yang amat luar biasa tentang pra-sejarah manusia, dan menambah "Kita
perlu selalu diingatkan bahawa alam penuh dengan paradoks... "2
Pada tahun 1949, Kenneth Oakley dari
Jabatan Paleontologi Muzium British memohon kebenaran untuk melaksanakan
teknik pentarikhan baru menggunakan ujian fluorida pada beberapa fosil
lama. Ujian ke atas Manusia Piltdown telah mendedahkan bahawa tulang
rahangnya tidak mengandungi fluorida. Ini menunjukkan bahawa ia berada
di bawah tanah tidak lebih daripada beberapa tahun. Bahagian tengkorak
juga mengandungi tahap fluorida yang rendah, menjadikannya berusia
sekadar beberapa ribu tahun sahaja.
Kronologi siasatan selanjutnya yang
dilakukan berdasarkan kaedah fluorida mengesahkan bahawa tengkorak
berkenaan hanya berusia beberapa ribu tahun. Turut dibongkar ialah
giginya telah digosok, serta artifak kuno yang ditemui bersama fosil
tersebut hanyalah bikinan semula yang dibuat dengan perkakasan keluli
moden.3
Dengan analisis terperinci yang
dilakukan oleh Weiner, penipuan ini terbongkar sepenuhnya pada tahun
1953. Tengkorak itu berusia 500 tahun dan milik manusia, manakala tulang
rahangnya adalah kepunyaan orang utan yang baru mati! Gigi tersebut
sebenarnya telah ditambah dan sambungannya digosok untuk memberi
gambaran yang ianya gigi manusia. Kemudian, semua bahagian telah
dilumuri kalium dikromat untuk menjadikannya kelihatan usang. Apabila
tulang tersebut diletakkan di dalam asid, lumuran itu pun hilang.
Le Gros Clark, seorang daripada pasukan
yang membongkar penipuan tersebut, tidak mampu menyembunyikan rasa
hairannya: "bukti lelasan tiruan segera muncul di depan mata.
Hakikatnya, ia terlalu ketara sehinggakan dapat dipersoalkan – kenapa
mereka gagal mengesannya sebelum ini?"4
Piltdown Man yang telah dipamerkan selama lebih kurang 40 tahun sebelum ini kemudian pantas dikeluarkan dari Muzium British.
1 Malcolm Muggeridge, The End of Christendom, Grand Rapids: Eerdmans, 1980, hal. 59.
2 Stephen Jay Gould, "Piltdown Revisited," Natural History, March 1979, hal. 98.
3 Kenneth Oakley, William Le Gros Clark & J. S, "Piltdown," Meydan Larousse, Vol. 10, hal. 133.
4 Stephen Jay Gould, "Smith Woodward's Folly," New Scientist, hal. 444.
No comments:
Post a Comment