.

.

Thursday, December 22, 2011

TOKOH ILMUWAN ISLAM: IBN SINA (981 - 1037M)





BIODATA IBN SINA

Abu Ali al - Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina (Avicenna) telah dilahirkan pada 981M di Afshara berhampiran Bukhara (Asia Tengah), seterusnya mendapat pendidikan awal di sana. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah dapat menghafal Al-Quran dan dilantik menjadi Doktor Di Raja pada umur 18 tahun. Beliau mula belajar mengenai falsafah dengan membaca pelbagai tulisan seperti tulisan Greek, Muslim dan buku-buku lain mengenai subjek ini serta mempelajari logik dan subjek lain daripada Abu Abdallah Natili iaitu seorang ahli falsafah terkenal pada waktu itu.
Ibn Sina merupakan seorang yang bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang amat mementingkan pendidikan agama dan juga keduniaan walaupun beliau dilahirkan dalam keluarga seorang pemungut cukai. Ibn Sina memang merupakan seorang yang rajin membaca buku. Pernah suatu ketika beliau telah membaca buku "Metafizik Aristotle" sebanyak 40 kali hanya semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.
Ketokohannya memang terserlah semenjak kecil lagi. Ini kerana sewaktu berusia 17 tahun, beliau telah berjaya menyembuhkan Putera Raja Bukhara, Nooh Ibn Mansoor selepas semua pakar perubatan yang terkenal gagal dalam usaha tersebut. Raja Mansoor amat terhutang budi dan telah menawarkan hadiah yang lumayan kepadanya. Namun begitu, beliau menolak dan hanya meminta kebenaran untuk menggunakan perpustakaan Di Raja sahaja.
Sewaktu berumur 20 tahun iaitu selepas kematian ayahnya, beliau telah mengembara ke Juran dan bertemu dengan Abu Raihan Al-Biruni. Kemudian beliau berhijrah pula ke Hamadan. Di Hamadan, beliau mengarang kitab al-Qanun fit Tibb untuk mengubati Raja Hamdan iaitu Shams al-Daulah. Dari Hamadan beliau menuju pula ke Ispahan (Iran) di mana beliau telah menyempurnakan penulisannya dalam pelbagai bidang. Beliau merancang untuk meneruskan pengembaraannya, namun terpaksa kembali semula ke Hamadan kerana faktor kesihatan yang mana akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir di sana pada tahun 1037M dalam usia 56 tahun. Sebagai mengenang jasa yang telah disumbangkan dalam ilmu perubatan, potret beliau telah digantungkan didinding Fakulti Perubatan Universiti Paris.

PENGARUH IBN SINA (AVICENNA)

Pengaruh Ibn Sina sebagai seorang ahli falsafah dan doktor perubatan dalam kebudayaan Eropah adalah amat meluas. Buku karangannya, Al-Qanun fit Tibb (Peraturan Perubatan) yang terdiri daripada 14 jilid telah dianggap sebagai satu himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan moden telah banyak diperolehi daripada Ibn Sina sama ada dari segi pengunaan ubat, diagnosis mahupun pembedahan. Pada abad ke -12, Gerard Cremona (dilahirkan pada 1114M) yang berpindah ke Teledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku Ibn Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi sumber rujukan utama di universiti-universiti Eropah sehingga ke 1500M. Bukunya telah disalin atau dicetak sebanyak 16 kali; 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah lagi edisi dalam bahasa Yahudi(Hebrew). Manakala pada abad 16M buku ini telah dicetak sebanyak 21 kali. Penulis-peniulis Barat telah menganggap Ibn Sina sebagai bapa perubatan kerana beliau telah dapat menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen serta pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi di samping pengalaman beliau sendiri.
Dari segi Tauhid (ketuhanan) pula, Ibn Sina telah terpengaruh dengan falsafah Plato dan Aristotle seperti mana dihuraikan oleh Imam al-Ghazali di dalam bukunya "Tahafut al-Falasifah" (Ketidaksinambungan Dalam Pemikiran Falsafah). Sumbangan umat Islam yang ketara dalam ilmu perubatan adalah dari segi pengalaman dan kebolehan mereka untuk merawat seseorang pesakit.
SUMBANGAN IBN SINA
Ibn Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam bidang perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis "psychosomatic medicine". Beliau telah memperkembangkan ilmu diagnosi melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenalpasti (dalm masa beberapa detik sahaja) ketidakseimbangan humor yang berkenaan. Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih lagi dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afganistan dan Parsi yang mana mereka menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) telah melaporkan bahawa para hakim di Afganistan, China , India dan Parsi adalah sangat berkebolehan dalam menentukan penyakit melalui denyutan jantung. Kaedahnya bukan sahaja membilang denyutan di tempat yang dirasa tetapi mutunya yang pelbagai merangkumi:

      1. Kuat atau denyut yang lemah
      2. Masa antara denyutan
      3. Kandungannya lembap (moisture content) diparas kulit berhampiran denyutan itu dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, dari ukuran denyutan jantung (pulse measurement), seseorang hakim mungkin dapat mengetahui dengan tepat penyakit yang dihadapi dalam tubuh si pesakit.
Ibn Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mengalami sakit jiwa disebabkan perpisahan dengan kekasihnya, beliau boleh mengetahui nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:
"Untuk menyebut namanya beberapa kali dan mengulanginya, jari hendaklah diletakkan di atas denyutan (pulse) dan apabila denyutan itu terrjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti, seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang demikian, nama jalan, rumah dan keluarga akan disebutkan. Selepas itu, kata Ibn Sina "jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya melainkan dengan menemukan sipesakit dengan kekasihnya, menurut peraturan syariah, maka buatlah".
Selain itu Ibn Sina juga merupakan seorang doktor perubatan pertama yang mencatatkan bahawa penyakit paru-paru adalah (pulmonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh berjangkit (contagious). Di samping itu beliau
turut menceritakan dengan tepat tanda-tanda (symptoms) penyakit kencing manis (diabetes) dan masalah yang timbul darinya. Beliau amat berminat dalam bidang yang berkaitan dengan kesan akal ke atas jasad serta telah banyak menulis mengenai gangguan psikologi.
Daripada maklumat yang diperolehi, Ibn Sina telah menghasilkan sebanyak 250 buah karya yang masih kekal sehingga ke hari ini, termasuklah 116 buah karya dalam bidang ilmu perubatan. Banyak karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan terdapat juga yang ditulis dalam bahasa Parsi. "Al-Qanun fit Tibb" merupakan karyanya yang termasyhur dan kerap kali dicetak di Eropah pada zaman
Renaisans dan telah menjadi bahan rujukan yang utama di Universiti-universiti Eropah sehingga abad ke 17. 

FALSAFAH DAN TEORI PERUBATAN MUSLIM BERDASARKAN SUMBANGAN IBN SINA TERHADAP BIDANG PENULISAN -
AL-QANUN FIT TIBB
Di dalam buku awalnya yang bertajuk "Al-Qanun fit Tibb" (Peraturan Perubatan) yang mengandungi 14 jilid, Ibn Sina pernah berkata bahawa:

  1. Perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh badan manusia.
  1. Tugas doktor ialah untuk pemulihan atau penjagaan keadaan keseimbangan yang disebut kesihatan, yakni tugas doktor adalah pemulihan dan penjagaan kesihatan.
  2. Selaras dengan patologi unsur-unsur Hiprocates (Yunani), tokoh perubatan muslim menganggap bahawa tubuh badan manusia mengandungi empat unsur iaitu:
  1. darah
  2. lendir
  3. hempudu kuning
  4. hemmpudu hitam

Dunia alam dibahagikan kepada empat unsur juga iaitu:

    1. api (darah)
    2. udara (hempudu kuning)
    3. air (lendir)
    4. tanah (hempudu hitam)

Setiap unsur badan mempunyai dua sifat berikut : darah - panas dan lembap,

lendir - dingin dan lembap, hempudu kuning - panas dan kering,

hempudu hitam - dingin dan kering. Campuran keempat-empat unsur tersebut yang akan menentukan keadaan kesihatan. Sekiranya seimbang maka sihatlah badan dan sebaliknya.

  1. Setiap individu mempunyai campuran humor berkenaan di mana ia amat unik seperti uniknya organ-organ dan temperamen individu seseorang itu. Tindakbalas seseorang terhadap stimulan eksternal yang sama adalah tidak serupa.

e) Tenaga badan yang akan mempertahankan dan memperbaiki keseimbangan serta menentukan kesihatan badan seseorang.

  1. Ubat membantu pesakit tetapi badan sendiri yang akan melakukan proses ke arah kesihatan manakala tabii pula yang akan memulihkan sesuatu penyakit (Nature Cures not the medicine).
  2. Keadaan tubuh atau temperamen setiap individu akan menentukan bahan makanan yang bermanfaat baginya.
  3. Selain itu Ibn Sina turut mencatatkan bahawa penyakit adalah disebabkan umur, jantina, pekerjaan, tempat kediaman, cuaca dan musim, makanan dan minuman, udara dan air, serta aktiviti fizikal dan mental. Ini bererti cara perubatan Ibn Sina adalah merangkumi bahan makanan, udara, aktiviti fizikal dan mental, rehat dan sebagainya.
Selain itu pada jilid kedua di dalam buku yang sama "Al-Qanun fit Tibb" Ibn Sina ada menulis mengenai kajiannya terhadap tumbuh-tumbuhan. Beliau telah membahagikan sesi pertama jilid ini kepada enam bab iaitu pengenalan campuran ubat dadah melalui percubaan dan kias. Manakala di bahagian kedua ia mengandungi beberapa lukisan dan peraturan.
Bagi setiap tumbuhan ini beliau akan menceritakan mengenai bentuk dan sifatnya dengan tepat serta membandingkannya antara satu sama lain di samping memberikan petikan-petikan berkenaan dengan tumbuhan tersebut daripada ahli sains purba seperti Dioscorides dan Galen. Selepas itu beliau akan membuat ujian bagi setiap tumbuhan sama ada dari segi tabii ataupun sifatnya. Seterusnya Ibn Sina turut membuat kajian mengenai pelbagai tumbuh-tumbuhan herba, tanaman bunga, kulat(fungi), rumpai-rumpai(algae) dan mengambil berat mengenai pelbagai jenis tumbuhan dari spesis yang berlainan bagi setiap genus. Beliau juga membuat catatan berkenaan dengan tumbuhan yang sama dan tidak sama serta membincangkan mengenai kediaman asli(habitat) bagi setiap tumbuhan, di samping tanah yang sesuai bagi tumbuhan berkenaan sama ada bergaram atau tidak. Selain itu beliau ada menceritakan mengenai warna-warna bunga dan buah-buahan, sama ada keras atau kering; daunnya yang lebar atau sempit; bergigi atau kesemuanya bertepi. Bahagian yang terbaik baginya ialah senarai tumbuh-tumbuhan di mana beliau telah memberi pelbagai nama bagi setiap tumbuhan
Yunani dan tempatan. Beliau telah merakamkan fenomena berbuah, selang-seli bagi tumbuh-tumbuhan dan palma, iaitu sebahagian pokok-pokok yang memberikan hasil yang banyak dalam satu tahun dan hasil yang sedikit bagi tahun yang lain, atau berbuah satu tahun dan tidak berbuah sama sekaili dalam tahun yang lain. Ibn Sina juga ada merujuk kepada kebolehan bau dan rasa bagi setiap tumbuhan dan ia telah mendahului Karl Metz pada tahun 1934 dengan menekan betapa pentingnya diagnosis melalui getah tumbuhan.

Sumber:http://pkukmweb.ukm.my

No comments:

Post a Comment