Gambaran suasana sewaktu perang Gowa dahulu
PENGENALAN
Orang-orang Melayu adalah pelayar ulung yang telah mengembangkan
pengaruh mereka di Nusantara menerusi beberapa empayar maritim
yangpernah mereka terajui.
Kedatangan penjajah Barat bermula dari kurunke-16 telah secara
perlahan menghakis kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu ini sehingga
akhirnya seluruh dunia Melayu terjajah.
Walaupun ditindas dan dijajah beratus tahun lamanya, sejarah telah
membuktikan bahawa orang-orang Melayu mempunyai semangat kebangsaan dan
jati diri yang tinggi untuk menentang penjajah.
Artikel ini memberi fokus kepada antara empat peperangan menentang
penjajahan yang terbesar dalam sejarah Nusantara iaitu Perang Kedah-Siam
(di Tanah Melayu), Perang Kastilla (di Borneo), Perang Menteng (di
Sumatera) dan Perang Gowa (di Sulawesi).
|
Antara teknologi senjata melayu |
|
PERANG KEDAH-SIAM
Perang Kedah-Siam meletus sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin
Halim Shah II pada kurun ke-19. Armada Siam pada waktu itu belayar ke
Kuala Kedah dengan alasan untuk mendapatkan bekalan makanan
bagimenghadapi serangan tentera Burma yang sedang memerangi Siam.
Orang-orang Kedah tidak mengetahui tujuan sebenar lawatan tersebut dan menyambut kedatangan armada Siam itu dengan meriah.
Sesudah berlabuh di Kedah, tentera Siam melancarkan serangan mengejut
yang seterusnya melumpuhkan Kedah. Seramai 1,000 rakyat Kedah telah
dijadikan tawanan perang dan dihantar sebagai buruh paksa ke Bangkok.
Sultan Kedah terpaksa berundur ke Prai sebelum melarikan diri ke Pulau
Pinang dan diberikan perlindungan oleh kerajaan negeri-negeri Selat yang
ditadbir British. Kedah telah secara rasmi dijadikan jajahantakluk Siam
pada tahun 1821 dan menerima pentadbiran secara langsung dari Bangkok.
Penjajahan ini meletuskan beberapa siri gerakan pembebasan anjuran
bangsawan-bangsawan Kedah. Serangan pertama dilancarkan pada tahun 1826
tetapi berjaya dipatahkan Siam dengan bantuan British.
Tengku Kudin melancarkan serangan lagi pada tahun 1831 dan berjaya
mengalahkan Siam. Namun kemenangan ini tidak kekal dan pasukan Tengku
Kudin terpaksa berundur apabila Siam melakukan serang balas dan
mengambil semula kota Kuala Kedah.
Walaupun mengalami kekalahan yang berpanjangan dan sekatan daripada
pihak British yang bersekongkol dengan Siam, ini tidak langsung
mematahkan semangat juang Melayu Kedah.
Pada tahun 1839, setelah menyusun strategi peperangan yang mantap,
angkatan Kedah menyerang balas dan berhasil mengusir Siam dari Kedah dan
seterusnya membebaskan Pattani serta Songkhla dari penguasaan Siam.
Kekalahan yang memalukan ini telah menconteng arang di wajah
pemerintah Siam dan satu angkatan peperangan yang besar dengan
persenjataan moden dan dibantu pihakBritish telah dikerahkan ke Kedah.
Akhirnya, Kedah telah jatuh ketangan Siam kembali dan ditukar namanya
kepada Syburi.
Sultan Ahmad Tajuddin yang tidak rela negerinya mengalami nasib yang
sama seperti Pattani yang telah dihapus kesultanannya, telah mencuba
memperbaiki hubungannya dengan Raja Siam melalui beberapa siri
perbincangan diplomatik.
Pada tahun 1842, takhta Sultan Kedah telahdikembalikan oleh Raja Siam
kepada baginda Sultan Kedah dan kesultanan Kedah kekal sehingga hari
ini sebagai sebuah institusi kesultanan yang diiktiraf oleh kerajaan
Malaysia.
Catatan sejarah ini menunjukkanorang-orang Melayu Kedah mempunyai
semangat juang yang sangat tinggi. Jika pihak Siam tidak dibantu oleh
British, berkemungkinan besar Siam tidak dengan sesenang itu dapat
menjarah bumi Kedah yang berdaulat.
Perjuangan menentang penjajahan ini telah dipandang tinggi oleh
seorang pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn
yangmenyatakan:
'Seperti anjing, orang-orang tempatan di pesisir Semenanjung India
menjilat tangan yang mendera mereka; tetapi tidak untuk orang Melayu;
dan kita orang-orang Inggeris harus menjadi bangsa yang pertama memberi
penghormatan kepada sebuah bangsa yang tidaksewenang-wenangnya tunduk
kepada penjajahan dan penindasan'.
PERANG MENTENG
Perang Menteng di Palembang, Sumatera meletus pada 12 Jun 1819
sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud Badaruddin II (1803-1821). Palembang
pada ketika itu telahpun berkembang menjadi sebuah kerajaan yang tidak
kurang makmurnya hasil daripada galian bijih timah dan tanaman lada.
Belanda telah melantik seorang pesuruhjaya bernama Edelheer Mutinghe
untuk mengawal selia pentadbiran kawasan tersebut. Mutinghe berkeras
untuk tidak mengiktiraf pemerintah tempatan dan mengambil
inisiatifnyasendiri untuk mencabar kedaulatan Sultan Palembang dengan
memaksa baginda mengakui ketuanan Belanda.
Tidak berpuas hati dengan keangkuhan Mutinghe, penduduk tempatan yang
menyokong Sultan Mahmud memulakan serangan yang telah membunuh ramai
askar Belanda. Belanda kemudiannya menyerang balas dengan mengirimlebih
ramai askar ke Palembang dengan misi penjajahan tetapi sekali lagi,
mereka telah dimalukan.
Untuk menguatkan lagi pertahananPalembang, Sultan Mahmud telah
mengarahkan pembinaan 'Benteng Kuto Besak' (Kota Besar) bagi menangkis
serangan Belanda yang kemudiannya dilancarkan pada 30 Oktober 1819.
Menyedari kekuatan Palembang, pihak Belanda telah melakukan
kerja-kerja pengintipan menerusi pedagang Arab dan pedagang Cina,tetapi
tetap gagal menguasai Palembang pada awal tahun 1821.
Sewaktu terjadinya perang, kedua-dua pihak Belanda dan Palembang
telahbersetuju untuk tidak melakukan serangan pada hari Jumaat dan Ahad
bagi menghormati hari suci agama Islam dan agama Kristian. Tetapi
Belanda dengan licik telah melanggar perjanjian ini dengan menyerang
Palembang secara mengejut pada 24 Jun 1821 yang seterusnya
melumpuhkankesultanan ini.
Keesokan harinya, Sultan Mahmud Badaruddin II dan keluarganya telah
dihantar ke Batavia (Jakarta) dan seterusnya dibuang negeri ke Ternate
sehingga baginda mangkat pada 26 September 1852.
Belanda yang menyerang dengan cara penipuan ini telah menghancurkan
sama sekali kesultanan Palembang; jika tidak, Palembang mungkin akan
kekal sebagai sebuah kerajaan berdaulat di Sumatera pada ketika ini
PERANG KASTILLA
Sepanyol dan kesultanan Brunei pernah terlibat dalam suatu peperangan
yang dianggap antara yang terbesar di dalam sejarah Nusantara iaitu
Perang Kastilla. Pada tahun 1576, gabenor Sepanyol bernama Franciscode
Sande bersama pengikutnya telah belayar ke Brunei untuk menghadap Sultan
Saiful Rijal.
Objektif utama mereka adalah untuk menjalinhubungan baik dengan
Brunei dan untuk mendapatkan kebenaran mengembangkan ajaran Kristian di
wilayah kesultanan ini. Francsico juga menuntut Brunei untuk
menghentikan penyebaran Islam di kepulauan Filipina.
Sultan Saiful Rijal menolak permintaan Francisco dan akibat daripada
itu, pihak Sepanyol melancarkan peperangan ke atas Brunei pada tahun
1578.
Ekspedisi peperangan menentang Brunei ini melibatkan 2,200 bala
tentera. Kota Batu, ibukota Brunei ketika itu telah ditawan pada 16
April 1578 mengakibatkan Sultan Brunei terpaksa melarikan diri ke
Jerudong bagi mengatur serangan balas bagi menghalau Sepanyol keluar
dari Kota Batu.
Setelah berjaya mengumpulkan kekuatan, serangan telah dilancarkan
oleh Bendahara Sakam dengan penuh semangat keberanian danakhirnya beliau
berhasil mengusir Sepanyol dari bumi Brunei pada 26 Jun 1578 - 72 hari
setelah Brunei dijajah Sepanyol. Tentera Sepanyol telah dikejar oleh
bala tentera Brunei sehingga mereka lari ke Sabah.
Jika tidak kerana keberanian dan semangat juang yang tinggi pasukan
tentera Melayu Brunei, Brunei mungkin akan menjadi sebahagian daripada
wilayah takluk Sepanyol di Timur. Sehingga hari ini, Brunei kekalsebagai
sebuah kesultanan yang berdaulat yang masih mengamalkan konsep Melayu
Islam Beraja (MIB).
PERANG GOWA
Sultan Hasanuddin Tumenanga Ri Balla Pangkana adalah seorang
pemerintah yang disegani yang pernah bertakhta di Gowa, kesultanan yang
kini menjadi sebahagian dari sejarah terpenting rakyat Sulawesi.
Baginda memerintah dari tahun 1653 sehingga 1669, sewaktu Belanda
mencuba keras untuk menguasai wilayah ini dengan Gowa merupakan
satu-satunya kesultanan di Indonesia Timur yang masih lagi merdeka.
Pada tahun 1666, Syarikat Hindia Timur Belanda yang dipelopori Kapten
Cornelis Spellman bertindak untuk menguasai kesemua kerajaan di
Indonesia Timur untuk memonopoli perdagangan rempah. Walaubagaimanapun,
Belanda gagal untuk menjajah Gowa.
Untuk menangkis pencerobohan Belanda, Sultan Hasanuddin memperkuatkan
kekuatan tentera kerajaannya untuk menghadapi Belanda. Pihak Belanda
juga telah mendapatkan bantuan tentera dari ibu kotanya di Batavia.
Sebanyak 250 buah kapal Gowa belayar dari Pelabuhan Galesong ke laut
Banda dan armada Belanda pula diketuai oleh Laksamana Monte Maranno.
Peperangan berterusan selama 3 tahun mengakibatkan kerugian yang besar
pada kedua-dua pihak. Akhirnya, serangan terakhir Belanda pada 12 Jun
1669 telah melumpuhkan kota Sombaupu dan Gowa akhirnya terjajah.
Sultan Hasanuddin kemudiannya diturunkan takhta dan mangkat setahun
kemudian pada 12 Jun 1670. Keberanian Sultan Hasanuddin menentang
penjajahan disanjung tinggi bukan sahaja oleh rakyat Makassar tetapijuga
oleh Belanda yang memberikan jolokan De Hanntjes van Het Oosten (Ayam
Jantan dari Benua Timur) kepada Baginda.
Gowa kekal sebagaitanah jajahan Belanda sehingga merdeka di dalam Indonesia pada tahun 1950.
KESIMPULAN
Bermula dari kurun ke-16 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu telah
secara sedikit demi sedikit dijajah oleh kuasa-kuasa luar seperti
Belanda, Sepanyol, British dan juga kuasa serantau, Siam.
Biarpun dijajah dan tanahair mereka dijarah, sejarah telah
mencatatkan bahawa bangsa rumpun Melayu ini tidak dengan mudah menyerah
tanpa sebarang penentangan. Kisah 'empat perang' yang dibincangkan ini
iaitu, Perang Kedah-Siam, Perang Menteng, Perang Kastilla dan Perang
Gowa telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu telah memberikan
penentangan yang kuat dengan semangat juang dan jati diri yang tinggi
dalam mempertahankan tanahair mereka daripada penjajahan.
Kesultanan Brunei yang masih wujud sehingga kini adalah peninggalan
warisan Melayu yang boleh dibanggakan di Nusantara - walaupun telah
secara sementara dijajah Sepanyol, kerajaan ini terus kekal
sehinggakini sebagai sebuah negara Melayu Islam berdaulat yang merdeka.
Maka, orang-orang Melayu harus melihat sejarah episod penjajahan ini
bukansebagai suatu alasan untuk menjadi layu, tetapi sebagai suatu
semangat bagi membina jati diri untuk berusaha maju ke hadapan dalam
membina negara-negara rumpun Melayu yang telah merdeka, tidak kira di
Malaysia, Brunei ataupun Indonesia.
Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) ialah seorang pensyarah kanan di
Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan
seorang felo bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti
Malaysia Terengganu
mstar
openminda