.

.

Thursday, November 14, 2013

Makna angka 40 dalam usia manusia



Tuan Ibrahim Tuan Man, 

Assalamu’alaikum,



Bila ada persoalan tentang umur 40 tahun manusia, saya terfikir sejenak. Belum pernah saya membincangkannya dengan sesiapa sebelum ini. Bila saya cuba mengajak kepada perbincangan, ramai yang berkata itu cuma psikologi barat untuk menggambar kehidupan mesti enjoy dan berseronok, dan pada umur ini barulah fikir tentang masa depan.



Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,



حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ



"Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)



Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.



Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.



Pada ayat yang lain, firman Allah;



أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ



Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? (al-Fathir: 37)



Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.



Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh2.



Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.



Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:



“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).

Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.


Mengapa umur 40 tahun begitu penting.



Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu

1. Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh)
2. Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun)
3. Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun)
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati)



Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.



Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,



لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد



"Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)



Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”



Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”



Lantas, apa yang harus kita lakukan ketika menginjak usia 40 tahun?

1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.



Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at fourty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.



Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ," Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati"

sumber: http://bm.harakahdaily.net/

Monday, November 11, 2013

Sungai Kembali Muncul di Tanah Arab



causes-of-global-warming
Mengikut lapuran PBB suhu dunia sekarang ini sedang menuju peningkatan kepanasan sebanyak 5 darjah dan aras laut akan meningkat lebih dari 80cm dalam abad ini, berdasarkan satu lapuran awal yang dibocorkan berkenaan lapuran perubahan cuaca dunia yang akan dibentangkan di PBB.
Sekarang ini terdapat 95% kemungkinan kesan rumah hijau yang berlaku akibat perbuatan manusia sedang di selidiki di seluruh dunia, yang mana kejadian terbaru ialah gelombang panas luarbiasa yang berlaku di Asia dan Alaska.
Darjah kepastian telah meningkat kepada 90% berbanding lapuran terakhir pada 2007, 66% pada 2001, dan hanya sekadar 50% pada 1995. Kenaikan aras laut sebanyak 82 cm akan menyebabkan kesan yang buruk terhadap bandar-bandar persisiran dimana-mana adalah kemungkinan yang tidak dapat dielakkan, seperti dilapurkan Reuters.
Oleh itu anda jangan terkejut suatu hari nanti negeri-negeri yang mana muka buminya rendah bakal tenggelam ekoran kecairan bongkah ais di kutuk utara dan selatan sekarang.
Ia bakal mengulangi apa yang pernah berlaku pada zaman air batu, di mana padang pasir gersang di negara-negara Arab ketika zaman tersebut dialiri anak-anak sungai.
Malah Semenanjung Tanah Arab merupakan kawasan paling subur di dunia pada zaman air batu.
Dalilnya dirakam dalam al Quran surah Saba’ di mana penduduk negeri Saba’ hidup dengan kemewahan kerana buminya begitu subur.



Dalam satu wacana yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kelantan pada 20hb Oktober, Pensyarah Jabatan Matematik UPM, Prof Madya Dr Mat Ropa Ismail berkata, zaman air batu kedua akan kembali semula, prosesnya sedang berlaku sekarang.
“Kutub utara mulai mengalami pencairan air batu sekarang. Kawasan utara Semenanjung Arab juga dikesan mengalami perubahan cuaca di mana kawasan kering mengalami salji beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saintis berpendapat bumi Arab akan dipenuhi kembali dengan anak sungai,” katanya ketika membentang kertas kerja pada wacana ilmiah di Al Quran dan Sains di Dewan Teratai hari ini.
Dr Mat Ropa berkata, penemuan saintifik mengenai Semenanjung Arab selaras dengan Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Hari Kiamat tidak akan muncul sebelum bumi Arab sekali lagi menjadi bumi hijau (subur) dan dipenuhi sungai-sungai”.
Beliau juga mengatakan Belanda akan menerima kesan paling cepat dengan kecairan ais di kutuk utara. Begitu juga negara berpulau seperti Singapura juga bakal berdepan situasi serupa.
Katanya juga Tabu’ sekarang menjadi pembekal buah anggur terbaik di Madinah, sedangkan dahulu merupakan kawasan kering kontang.
Malah semenanjung Arab juga berjaya menghasilkan gandum jenis terbaik di dunia.
“Penyelidikan satelit tentang muka bumi Arab menunjukkan kesan tali air dan pengairan wujud di bawah timbunan pasir di Yaman.
“Begitu juga Bandar Iram ditemui tertimbus di bawah timbunan pasir sedalam 16 meter beberapa tahun lepas,” katanya.
File:SIR-C X-SAR Ubar, Oman.gif
Radar imagery uncovered a city buried under sand in Oman
Beliau membentang kertas kerja bertajuk “Ayat Al Kauniyyah Dan Keajaiban Alam Kosmos Dan Cakarawala”.
Wacana tersebut dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Perasmian penutup program berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama anggota Exco, Datuk Nasuruddin Daud dan Mufti Kelantan, Datuk Mohd Sukri Mohamad.
Sumber;

Thursday, November 7, 2013

Hijrah Nabi SAW Dari Makkah ke Madinah

Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda.  Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.
Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.
Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  11 orang penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat tersebut.

Bertolak dari Makkah

Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi.  Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau belum.
Namun, kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA mengatasi kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut sebagaimana disebut di dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30.
Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau.  Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin.
Dengan izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.  Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya.
Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari tadi.  Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.
Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya.  Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak langsung Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam seperti didakwa lelaki tersebut.
Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut.  Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi.  Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Di Gua Thur Selama 3 Hari

Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana.  Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang menunggu Nabi.
Lokasi Bukit Thur
Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah.  Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur.  Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki.  Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.
Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya.  Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dengan katanya:
“Demi ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu.”
Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang.  Beliau pun mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut.  Kemudian didapati pula ada 2 lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut.
Setelah keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk ke dalam gua.  Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur.  Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.  Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi.  Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar).
`Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur.  Apabila waktu sahur, beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah.  Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi.  `Amir bin Fuhayrah pula mengembala kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut.  Apabila waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka.  Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam.  Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu.
Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Ali bin Abi Talib telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.
Bengang dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan.  Dengan tawaran itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.

Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib (Madinah)

Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu.  Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian.  Selain Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut.  Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.
Mereka berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat iaitu pesisiran pantai.  Sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dengan menggunakan jalan yang jarang digunakan orang.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA dan rombongannya itu.  Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa menarik berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam apabila bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dalam perjalanan.
Dikatakan inilah jalan yang dilalui Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Madinah.  Allahu A`lam.
Dikatakan inilah jalan yang dilalui Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Madinah. Allahu A`lam.

Singgah di Quba’ selama 4 Hari

Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan rombongannya itu sampai di Quba’.
Di Quba’, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam.  Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’.  Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya.  Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.

Sampai di Yathrib (Madinah)

Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah dengan rombongannya.  Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani Salim bin Auf.  Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut.
Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat meriah oleh penduduk di situ.  Walapun orang Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah menunggu Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam setiap hari dan pulang semula apabila mendapati Baginda tidak sampai.  Walaupun penduduk Yathrib tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.
Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir tempat unta tersebut berhenti.  Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid Nabawi.
Beberapa hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri Baginda sampai bersama 2 puteri Baginda iaitu Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama mereka juga Usamah bin Zaid dan Ummu Aiman. Mereka ini keluar dengan ditemani oleh `Abdullah bin Abu Bakar dan `A’ishah. Puteri Baginda yang bernama Zainab masih tinggal di Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat peluang keluar dari Makkah sehinggalah setelah peperangan Badar.  Allahu A`lam.
Begitulah serba ringkas kisah hijrah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Yathrib.  Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini.  Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih hebat.
Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.
Sekadar menyampaikan, 
muzir.wordpress.com
—–
* Diringkaskan dengan merujuk kitab terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum yang diterbit oleh YADIM.

Tuesday, November 5, 2013

Tujuh Perkara yang Disampaikan Presiden Mursi dalam Persidangan mahkamah pada 4/11/2013


Tujuh Perkara yang Disampaikan Presiden Mursi dalam Persidangan Dalam persidangan hari kemarin, Ketika Presiden Mursi memasuki mahkamah, Mursi enggan menanggalkan sut yang dipakainya dan menolak untuk memakai pakaian seragam penjara. . Beliau nampak tenang dan teguh dalam mempertahankan sikapnya. Dalam kesempatan di persidangan tersebut , Presiden Mursi sempat menyampaikan tujuh perkara. Seperti dimaklumkan oleh sumber maklumat yang berkesempatan masuk ke bilik dan menghadiri sidang Isnin ( 4/11/2013 ) kemarin.



Pertama, Presiden Mursi menunjukkan simbol R4BIA . Beliau lalu berkata kepada hakim yang memimpin sidang , "Aku adalah Dr . Muhammad Mursi Ayyath . Akulah presiden Mesir yang sah. Sedangkan engkau tidak sah ( menjadi hakim) . " 

Kedua, "Apa yang terjadi pada tarikh 3 Julai adalah rampasan kuasa . Itu adalah sebuah pengkhianatan. "

Ketiga, " Aku menuntut mahkamah menghentikan jenaka ini . " 

 Keempat, "Aku berada di sini kerana dipaksa, tanpa kehendakku . Aku berharap kehakiman Mesir tidak terlibat dalam rampasan kuasa tentera ini . " 

Kelima, "Keputusan melimpahkan kes ku ke mahkamah dikeluarkan oleh pihak yang tidak berkuasa . Berasal dari pendakwa yang ditunjuk oleh penguasa kudeta . " 

Keenam, " Aku menolak semua tuduhan yang ditujukan kepadaku . Kerana semua tuduhan itu berasal dari pengkudeta . " 

 Ketujuh , "Kalian (para hakim) akan dimintai pertanggungjawabannya kerana tidak membiarkanku keluar dari bilik ini untuk melaksanakan tugasku sebagai presiden Mesir. " 

Pekarangan Mahkamah Mesir
Demonstrasi di hadapan Mahkamah


Beberapa sumber maklumat juga menekankan bahawa 14 orang suspek dalam kes ini menolak untuk tunduk dan menerima kesahihan persidangan kes ini. Bahkan Muhammad Beltagi berkata kepada hakim , "Aku punya 10 alasan fakta dan perlembagaan yang meniscayakan ketidak kesahihan persidangan ini . " Namun 10 alasan ini belum sempat disampaikan , beliau mengatakan" Jatuh- jatuh pemerintahan tentera. " Kemudian Dr . Salim Awwa dan anggota pasukan pembela juga mengatakan " Rakyat ingin membela Presiden , " " Rakyat ingin perlembagaan Presiden. " Ketika suasana sudah gaduh, majlis hakim memutuskan untuk menutup persidangan, dan menundanya hingga bulan Januari tahun mendatang. Presiden Mursi duduk di dalam kurungan suspek, dikelilingi oleh 14 orang lain yang berdiri.



Sumber: https://www.facebook.com/Muslimboy.Naz

Monday, November 4, 2013

Subhanallah, ombak di bawah laut lebih besar dari ombak di atas permukaan

Begitu dahsyatnya penciptaan bumi ini dan kita sebagai manusia tidak boleh berkata kecuali mengucapkan Subhanallah, yang telah menciptakan alam semesta ini beserta apa yang berada di atasnya sedemikian indah dan mempesona sehingga kita boleh menetap di atasnya dengan tenang dan damai.

Begitupun laut dan samudera yang luas mempunyai rahsia yang telah dibicarakan dalam al- Qur'an sejak 14 abad lalu. Jadi apa pendapat para ilmuwan setelah mereka berjaya menjalankan penyelidikan ilmiah ini ?

يقول تعالى: (أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ)[النور: 40].

Ertinya: " Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam yang diliputi oleh ombak , yang di atasnya ada ombak , di atasnya ada awan. Gelap gelita tindih menindih. Apabila dia mengeluarkan tangannya tidaklah hampir dia melihatnya dan barang siapa yang tiada diberi oleh Allah cahaya maka tidaklah ada baginya sedikit cahaya pun " . Q.S. An - Nur; 24:40

PENJELASAN AYAT

Dalam ayat ini, Allah SWT berbicara kepada kita sikap dan pengingkaran orang-orang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan perjumpaannya pada hari Kiamat nanti serta pembangkangan mereka terhadap rasul-Nya. Perbuatan yang mereka lakukan di dunia ini diibaratkan mengejar sesuatu yang bersifat fatamorgana dengan termengah-mengah di belakangnya.

Jika mereka tidak berjaya mencapai tempat yang dituju itu, mereka tidak akan mendapatkan apa-apa dan mereka merasa apa yang mereka lakukan adalah sia-sia. Perumpamaan orang kafir ini diibaratkan seperti manusia hidup dalam kegelapan laut yang dalam dan hampir-hampir tidak melihat sesuatu kerana gelap gelita.

Imam Al- Qurthubi, seorang ulama tafsir terkenal berkata: (di samudera yang dalam ) yang tidak terjangkau dasarnya yang diliputi oleh ombak , yang di atasnya yakni di atas ombak itu, ada lagi ombak yang lain sehingga ombak berlapis-lapis dan di atasnya yakni di atas ombak yang berlapis itu ada lagi awan gelap yang menutupi cahaya yang menyinari langit. Demikianlah, seperti apa yang dikatakan ahli saintis kini.

FAKTA ILMIAH

Ketika para ilmuan mengharungi samudera yang dalam mereka mendapati bahawa dalam laut yang sangat dalam itu diliputi oleh kegelapan dan tahap kegelapanya menghalang manusia untuk melihat sesuatu. Kegelapan ini semakin menjadi-jadi jika ombak dan gelombang datang bertubi-tubi apalagi jika awan tebal dan hitam menyelimuti angkasa.

Sebagaimana juga mereka mendapati bahawa di dalam laut yang sangat dalam itu terdapat ombak yang berlapis-lapis dan tidak mungkin seseorang melihatnya kecuali dia menyelam sehingga 100m kedalaman laut. Ombak yang terdapat dalam lautan ini lebih besar dari ombak yang terdapat di atas permukaan. Subhanallah ...

ILMIAH MUKJIZAT AL -QUR'AN

Dalam ayat ini terdapat dua penemuan saintifik yang sesuai dengan ayat Al-Quran surat An- Nur; 24:40 , iaitu :

1 . Tentang gelapnya laut yang dalam yang baru ditemui oleh para ilmuwan baru -baru ini
2. Terdapat ombak dan gelombang dalam laut itu secara berlapis/menimbun.

*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com judul artikel Subhanallah, Lihatlah Allah Ciptakan Kegelapan Laut.

Sejarah Perang Ahzab / Perang Khandak (Parit)

khandak
Perang Ahzab (bahasa Arab: غزوةالاحزاب) atau Perang Khandaq (Arab: غزوةالخندق) ini telah berlaku pada bulan Syawaltahun 5 Hijrah bersamaan 627 Masihi. Dinamakan Perang Ahzab kerana perang ini menghimpunkan banyak suku kaum yang telah bersekutu (Ahzab) untuk menyerang orang Islam di Madinah. Dinamakan juga Perang Khandak (parit) kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar. Perang ini ada diceritakan dalam al-Qur’an di dalam Surah Al-Ahzab.
Pengepungan menjadi ‘pertarungan kepintaran’ dalam mana Muslim secara taktikal mengalahkan musuh mereka sambil hanya mengalami korban kecil. Usaha bagi mengalahkan orang Islam gagal, dan agama Islam bertambah berpengaruh di rantau itu. Ekoran itu, tentera Muslim mengepung pula penempatan suku Bani Quraizah, yang membawa kepada penyerahan kalah mereka.
Kekalahan dalam Perang Khandaq menyebabkan Quraisy hilang perdagangan serta darjat mereka.
Marilah bersama menghayati sirah Rasulullah s.a.w dalam peperangan Ahzab. Tanggal 7 Syawal 5 Hijrah menyaksikan peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslimin, akibat keguguran ramai para syuhada didalam Peperangan Uhud.
Perang Ahzab atau Khandak adalah perang yang mengumpulkan 10,000 orang tentera musyrikin dari sekitar tanah arab untuk memerangi Madinah. Jumlah tersebut adalah lebih banyak daripada bilangan penduduk madinah termasuk anak-anak, wanita-wanita dan golongan tua.
Apabila mengetahui keadaan tersebut Rasululullah s.a.w telah bermesyuarat dan telah mengambil idea bernas daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian Utara Madinah. Bahagian lain di sekeliling Madinah dikelilingi oleh gunung-gunung dan kebun-kebun kurma menyukarkan kaum musyrikin memasuki kota Madinah.
Setelah sempurna penggalian tersebut maka seperti yang dijangka sebuah ketumbukan besar musyrikin Quraisy bergabung dengan kaum-kaum musyrikin di sekitar Mekah muncul di hadapan parit tersebut. Di sini dapat diringkaskan bahawa usaha yang dilakukan oleh orang Musyrikin untuk menyeberangi parit itu tidak berjaya. Peperangan terbatas hanya dengan melepaskan anak panah. Walaupun begitu terdapat enam orang dari pihak muslimin dan 10 orang dari pihak musyrikin yang terbunuh.
Dalam keadaan yang tegang itu, Bani Quraizah iaitu kaum Yahudi yang tinggal di Madinah telah dihasut oleh Huyai bin Akhtab untuk memerangi kawasan tempat tinggal di Madinah yang didiami oleh wanita-wanita dan anak-anak kecil. Mereka telah melanggar janji mereka dengan Rasulullah s.a.w dengan membuat keputusan tersebut.
Beberapa orang Yahudi dilihat cuba menyusup masuk untuk menyerang dari belakang. Walaupun begitu dengan keperwiraan yang ditunjukkan oleh Shafiyyah binti Abdul Muthalib, beliau berjaya membunuh mereka dan Bani Quraizah yang melihat dari jauh menjangka Rasulullah juga telah meletakkan askar pertahanan dari belakang. Keadaan menjadi selamat seketika. Keadaan sedemikian menyebabkan mereka hanya menyediakan makanan kepada tentera-tentera Quraisy.
Setelah mendengar berita yang merungsingkan tersebut Rasulullah s.a.w telah menghantar wakilnya untuk mencari kebenaran tentang peristiwa tersebut. Apabila ternyata kesahihan berita tersebut berita ini tersebar dalam kalangan tentera yang menjaga di barisan hadapan. Kemudian sebahagian daripada tentera memohon izin untuk pulang mempertahankan anak-anak dan isteri mereka di rumah.
“Allahuakbar bergembiralah wahai orang-orang muslimin dengan kemenangan dan pertolongan daripada Allah S.W.T.” Sabda baginda setelah diam seketika. Rasulullah s.a.w merancang untuk menghantar beberapa pasukan untuk menjaga di barisan belakang dan menghantar beberapa pasukan untuk mengucar-kacirkan tentera musyrikin di barisan hadapan.
Namun rancangan Rasulullah s.a.w tidak diterima oleh beberapa orang Sahabat setelah Rasulullah s.a.w memberitahu rancangan ini adalah pendapatnya dan bukan wahyu daripada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T telah membuat keputusan yang sekaligus menghina dan memecahbelahkan musuh dengan mendatangkan Nua’im bin Mas’ud.
Beliau adalah seorang yang berpengaruh dalam kalangan Bani Quraizah dan orang musyrikin Quraisy. Beliau menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah s.a.w dan bersedia membantu untuk memecahbelahkan tentera musyrikin.
Setelah Rasulullah s.a.w menyerahkan cara dan strategi memecahbelahkan mereka kepada Nua’im maka beliau telah melaga-lagakan antara Bani Quraizah dan Bani Quraisy. Setelah mengetahui bahawa barisan mereka telah berpecah belah, mereka telah hilang semangat untuk berperang memandangkan khuatir berlaku peperangan sesame sendiri dan tiada kesatuan antara mereka. Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w dan para sahabat berdoa kepada Allah dengan penuh keikhlasan agar pasukan musuh dikalahkan.
Akhirnya Allah S.W.T menurunkan para malaikat yang datang berupa angin taufan mencabut semua khemah-khemah musuh memporak-perandakan gerakan mereka. Allah S.W.T juga mengirimkan malaikat yang menyusupkan perasaan takut di pihak musuh. Rasulullah s.a.w menghantar wakil untuk melihat keadaan musuh dan ternyata tiada seorangpun dalam kalangan mereka yang tinggal melainkan kesemuanya telah melarikan diri ke Mekah.
Peperangan ini telah bermula pada 5 Syawal dan telah berlangsung selama sebulan. Perang Ahzab bukanlah peperangan yang membawa kepada kerugian dan keuntungan melainkan ia adalah perang saraf semata-mata. Tiada pertempuran yang hebat antara kedua belah pihak.
Namun dalam catatan sejarah Islam ini adalah peperangan yang sangat tegang, yang berakhir dengan kekalahan di pihak musyrikin. Peperangan ini memberi petunjuk bahawa sebesar manapun kekuatan ketenteraan yang ada pada negara arab tidak sanggup untuk melawab kekuatan kecil yang sedang mekar di bumi Madinah.
Disebabkan hal ini Rasulullah s.a.w bersabda “Sekarang kitalah yang akan menyerang mereka dan mereka tidak akan menyerang kita. Kitalah yang akan mendatangi mereka.”
sumber: myibrah.comms.wikipedia.org
             amekaw