.

.

Saturday, November 3, 2012

KISAH IMAM SYAFIE MENUNTUT ILMU

Imam Syafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian, beliau menghafal kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta
izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu di Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Syafie keluar daripada tempat kelahirannya Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah SAW.

Dengan langkah yang tertib, Imam Syafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Syafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Kerana kehidupannya yang serba miskin, beliau telah menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik di atas tapak tangannya. Tanpa disedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik memanggil Imam Syafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Syafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya, "Apakah kamu berasal dari Makkah?" Jawab Imam Syafie, "Benar". Imam Malik bertanya lagi, "Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?" Jawab Imam Syafie, "Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya menggunakan lidi dan air liur untuk menghafalnya".

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Syafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, "Tetapi kenapa tapak tangan engkau kosong sahaja?"

Kata Imam Syafie, "Benar tuan. Namun demikian, saya telahpun menghafal kesemua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu".

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu pun hadis yang tertinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya.

Semenjak peristiwa itu, Imam Syafie dijemput untuk tinggal di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan lamanya Imam Syafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta'. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan untuk mengajarkan ilmu kepada murid-murid yang lain.

2 comments: