Bila namanya disebut, gentar hati musuh. Seorang sahabat Rasulullah yang
berjaya memimpin pasukan tentera mengalahkan tentera Parsi dan Rom.
Gelaran Pedang Allah / Saifullah tidak membuatkan dirinya sombong.
Bahkan beliau mengharapkan keredhaan Allah. Berperang kerana Allah bukan
kerana arahan khalifah.
Beliau mendambakan mati syahid tetapi akhirnya beliau menemui Allah di
atas katil. Semua ini ketentuan Allah. Hanya Allah yang mengetahui
tempat dan waktu ajal kita.
Pernah suatu ketika, Khalid bin Al-Walid memerintahkan tenteranya
mengepung benteng-benteng ini. Namun begitu, terdapat juga anggota
tenteranya yang tidak sabar mahu menyerbu masuk bagi menamatkan
pengepungan itu. Bagi mereka, penantian itu suatu penyeksaan.
"Tentera kita sudah berpengalaman menembusi benteng seperti ini. Mereka
hanya menunggu perintah daripada panglima bagi membuat serbuan," kata
Yazid.
"Mereka yang berlindung di sebalik benteng itu kebanyakannya terdiri
daripada wanita yang suaminya dibunuh dalam peperangan dan kanak-kanak
yang kehilangan bapa. Tentera yang mempertahankan benteng itu kurang
hebat kerana pahlawan yang terbaik sudah kita bunuh," jelas Khalid bin
Al-Walid.
"Cukup sekadar serang dari luar sahaja. Saya yakin tidak lama lagi mereka pasti kalah," sambung Khalid lagi.
Beliau mahu tentera Islam sabar. Kejayaan pasti menjadi milik mereka,
cuma kesabaran itu perlu disemai supaya tidak berlaku pertumpahan darah
yang banyak, terutama sekali di kalangan wanita dan kanak-kanak. Mereka
tidak patut diperangi tetapi perlu dibantu.
Tentera Islam mematuhi arahan itu. Mereka menghujani benteng itu dengan
anak panah, api dan batu yang dilontar dengan menggunakan pelantik.
Ramai musuh yang terbunuh dan cedera akibat serangan itu. Ada juga
sebahagian benteng yang mula pecah akibat hentaman batu yang dilemparkan
oleh tentera Islam.
"Musuh yang mempertahankan benteng Benbaqilla mengibarkan bendera putih.
Mereka mahu menyerah kalah," kata Muthana bin Harith kepada Khalid bin
al-Walid.
"Suruh mereka buka pintu bentang dan berjalan keluar tanpa memegang
senjata. Pastikan itu bukan muslihat peperangan," Khalid bin Al-Walid
mengingatkan Muthana.
Dalam peperangan apa asahaja boleh berlaku. Mereka perlu bijak dan
berwaspada selalu. Tidak lama kemudian, pintu benteng itu dibuka. Mereka
yang berkubu di salamnya keluar sambil mengibarkan bendera putih dan
mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Khalid menyuruh ketua mereka
datang menghadap.
"Siapa nama saudara?" tanya Khalid. dia bertanya dengan penuh hormat walaupun dalam ketegasan.
"Nama saya Amru al-Masih, tetapi kaum saya memanggil dengan nama Ibnu Baqilah," jawabnya.
"Berapa tahun umur saudara?" tanya Khalid al-Walid lagi.
Dia tidak faham kenapa insan tua seperti itu boleh terlibat dalam
perang. Jawatannya sebagai ketua mendatangkan pertanyaan di mindanya dan
menimbulkan rasa hairan di hatinya. Matanya masih tertancap pada insan
yang sedang berdiri di hadapannya.
"100 tahun," jawab Ibnu Baqillah.
Khalid tersentak sedikit tetapi dia pandai menyembunyikan rasa terkejutnya.
"Mengapa saudara dilantik menjadi ketua dalam umur begini?" Akhirnya terkeluar juga persoalan yang berlegar-legar di mindanya.
Ibnu Baqillah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Memang dia sudah
menjangkakan soalan itu pasti terbit dari bibir pahlawan yang digeruni
ramai itu.
"Ini kerana saya lebih bijak daripada kaum saya,' jawabnya tanpa ada
perasaan megah. Dalam hatinya, dia baru sahaja berniat mahu berdamai
dengan tentera Islam.
"Mengapa saudara membuat benteng?" tanya Khalid.
"Saya mengurung orang bodoh supaya dibuka oleh mereka yang cerdik," Khalid tersenyum mendengar jawapan itu.
"Adakah saudara ingin menyerah diri atau berperang?" tanya ketua pahlawan Islam itu lagi.
"saya mahu menyerah diri," katanya dengan yakin.
"Mengapa perlu berperang sekiranya sudah tahu kemenangan pasti
menyebelahi pihak musuh? Langkah paling bujak adalah berdamai,"
tambahnya lagi.
"Saudara mahu memeluk islam atau membayar jizyah?"
"Saya mahu membayar jizyah," jawab Ibnu Baqillah.
"Saudara boleh hidup dengan aman dan berpegang kepada agama asal," balas Khalid bin al-Walid lagi.
Tiba-tiba Khalid ternampak botol kecil trejatuh dari saku baju Ibnu
Baqilah. Serentak dengan itu, dahinya berkerut sehingga keningnya hampir
bercantum dua.
"Apa yang terkandung dalam botol itu?" tanya Khalid.
"Sejenis racun yang amat bisa. Sesiapa yang meminumya pasti mati serta merta," jawab Ibnu Baqilah.
"Mengapa saudara bawa racun ini?" tanya Khalid al-Walid. Dia benar-benar hairan.
"Sekiranya dipenjarakan, saya mahu minum racun ini kerana saya lebih
rela mati daripada dipenjarakan. Sekiranya tindakan saya berunding
dengan saudara tidak dipersetujui oleh kaum saya, saya lebih rela mati
daripada hidup dibenci oleh kaum sendiri," Ibnu Baqilah memberitahu
Khalid dengan jujur tanpa berselindung.
Khalid al-Walid mengambil racun itu lalu berkata dengan penuh
yakin,"Racun ini tidak boleh membunuh orang selagi belum sampai
ajalnya."
Baginya, seseorang itu tidak akan mati tanpa izin dari Allah.
"Racun itu amat berbisa. Sesiapa sahaja yang meminumya boleh mati serta
merta," Ibnu Baqilah membantah kata-kata Khalid bin Al-Walid.
Beliau kelihatan yakin. Penutup botol dibuka. orang lain memandangnya dengan cemas.
"Jangan minum racun itu. Ia akan memudharatkan tuan," Yazib cuba menghalangnya.
"Lebih baik buang sahaj racun itu," kata Muthana.
Namun begitu Khalid tetap bertegas mahu meminumya.
"Saya mahu buktikan racun ini tidak memberi apa-apa kesan kepada diri saya dengan izin Allah," ujar Khalid.
Kemudian Khalid berdoa yang membawa maksud,
"Dengan nama Allah yang sebaik-baik nama, Tuhan penguasa bumi dan langit
yang dengan namanya racun ini tidak mendatang mudharat."
Selepas membaca doa itu, Khalid mendekatkan botol beracun itu ke bibirnya.
"Jangan minum!" ada suara yang menjerit dnegan tindakannya.
Khalid terus meneguk racun itu dan menelannya.
Orang ramai terpegun. Masing-masing bingung dengan keberanian pahlawan
Islam itu. Ibnu Baqilah adalah orang yang paling terkejut kerana Khalid
mampu tersenyum dan berdiri selepas menelan racun itu.
"Mustahil tiada apa-apa berlaku selepas meminum racun itu," bisik hatinya.
Mulutnya melopong kerana kehairanan.
"Saya sudah beritahu saudara yang racun itu tidak boleh memudharat
sesiapa dengan izin Allah," Khalid Al-Walid mengulangi kata-katanya.
Hebatnya keyakinan para sahabat. Mungkin kita tidak seyakin Khalid untuk
bertindak sedemikian. Dengan tindakannya ini, ramai yang memeluk Islam.
Subhanallah!
Khalid al-Walid juga seorang yang pandai mengatur strategi peperangan.
Dalam peperangan melawan tentera Rom 240 000 tentera. Manakala tentera
Islam seramai 40 000 orang sahaja. Jika dikira secara logik mustahil
tentera Rom boleh kalah.
Antara rahsianya yang disebut oleh tentera Rom kepada Maharaja Hercules.
"Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa pada
siang hari dan beraml ibadat pada waktu malam. Mereka berpegang teguh
pada janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara
sendiri. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan
kemungkaran," katanya dengan jujur.
"Tentera kita pula suka minum arak, melakukan zina, selalu mungkir
janji, suka berbuat jahat dan melakukan kezaliman. Disebabkan itulah
kita kalah," tambahnya lagi walaupun suaranya ketakuta dihadapan
maharajanya.
Video Jejak Rasul berkaitan kisah Khalid Al Walid di bawah:
Sumber: jaulahsufi.blospot